Rabu, 20 April 2011

RUMUSAN/MERUMUS PETIKAN

Apa yang anda tahu tentang rumusan?

Sekiranya soalan di atas diajukan kepada pelajar praU tahun 1, kebiasaannya jawapan mereka akan merujuk konsep rumusan dalam SPM (ada isi tersurat dan isi tersirat). Namun untuk peringkat STPM konsepnya berbeza. Rumusan secara umumnya dapat kita fahami sebagai "mengolah semula teks/petikan yang diberikan dengan mengekalkan isi kandungan asal teks tersebut dan disampaikan dengan menggunakan perkataan sendiri".   Walaupun konsep tidak tidak ditanya dalam soalan Bahasa Melayu 910, tetapi  'rupa paras' rumusan perlu anda fahami betul-betul.

Suatu teks/petikan daripada pelbagai sumber yang berkaitan dengan pelbagai isu atau perkara akan dikemukakan sebagai bahan untuk rumusan. Panjang petikan tersebut lazimnya 450-500 patah perkataan sahaja.

Sebanyak 20 markah diperuntukkan untuk bahagian rumusan ini.Di mana 10 markah untuk  isi dan 10 markah persembahan.

Format rumusan
 Berdasarkan petikan yang diberikan rumusan hendaklah :
  • Mesti dijawab dalam tiga perenggan yang terdiri
                - Perenggan Pendahuluan (P1) yang memaparkan Isi Utama (IU)
                - Perenggan Isi (P2) yang memaparkan sekurang-kurangnya 5-6
                  Isi Sokongan (IS)
                - Perenggan Penutup (P3) yang memaparkan Kesimpulan (K)
  •  Panjang rumusan lazimnya antara 180-190 patah perkataan ( baca arahan soalan )
  • Jumlah perkataan hendaklah ditulis pada akhir jawapan sebelah kanan.

Mengenal IU, IS dan K
Anda hendaklah membaca keseluruhan petikan/teks yang diberikan. Cuba fahami isu yang dikemukakan. Isu yang menjadi persoalan utama keseluruhan petikan hendaklah anda kenal pasti kerana itulah yang menjadi ISI UTAMA (IU). Dalam perenggan mana? Biasanya IU terdapat dalam perenggan pertama. Dua hingga tiga ayat perlu anda kenal pasti sebagai IU. Pastikan anda gariskan ayat-ayat tersebut dan dibuat tanda IU.

Bermakna dalam perenggan berikutnya Isi Sokongan (IS) akan anda temui. Namun, harus diingat bukan bermakna setiap perenggan berikutnya itu terdapat IS. Kemungkinan ada perenggan yang mengandungi lebih dari satu IS, mungkin juga langsung tidak ada IS. Berkemungkinna dalam perenggan akhir juga terdapat IS. Isi-Isi Sokongan ini merupakan isi yang menyokong IU. Walau bagaimanapun harus anda ketahui bahawa unsur berupa perangkaan/stasistik, penjenisan,dan  contoh-contoh bukanlah IS. Elakkan anda mengambil unsur tersebut sebagai IS. Oleh kerana bilangan IS banyak, sebaiknya selepas anda gasir isi-isi tersebut buat tanda IS 1, IS 2 dan seterusnya. Isi sokongan hendaklah  dihurai secara tepat dan padat. Jangan membuat huraian panjang yang akan menyebabkan jumlah  perkataan akan melebihi yang sepatutnya.

Akhir sekali Kesimpulan. Biasanya pada perenggan akhir terdapat penanda wacana sebagai kesimpulannya, akhir sekali dan sebagainya yang merujuk kepada isi untuk kesimpulan (K). Tetapi, isinya mestilah menggambarkan  kesimpulan kepada isi utama petikan.

Ikuti langkah berikut

Setelah IU, IS dan K telah anda temui dan tandakan, maka langkah seterusnya ialah memulakan penulisan rumusan lengkap. Cuma ingat! IU dalam perenggan pertama, IS dalam perenggan kedua dan K dalam perenggan ketiga.

Anda tidak sepatutnya menyalin bulat-bulat isi yang ditemui sebagai jawapan lengkap rumusan anda. Ini boleh menyebabkan anda mendapat markah yang tidak sepatutnya, kerana jawapan anda menyalin bulat-bulat petikan asal. Oleh itu, semua isi hendaklah diolah dan disampaikan  dengan menggunakan perkataan anda sendiri tetapi tidak mengubah maksud asal isi-isi yang ditemui tadi. Pilihan kata yang tepat dan memiliki makna yang sama dengan perkataan asal dalam petikan amat wajar anda lakukan. Ini bukan bermakna anda perlu menukar semua perkataan itu, cuma sebahagian atau beberapa perkataan sahaja yang menampakkan anda bukannya menyalin bulat-bulat.

Andai itu yang anda mampu lakukan, maka tulislah jawapan anda dengan sebaiknya. Hitung jumlah perkataan keseluruhannya dan pastikan jumlah perkataan mengikut kehendak arahan dalam soalan. Jangan lebih atau kurang jumlah perkataan. Lebih tidak diperiksa dan kemungkinan anda kekurangan isi, apalagi sekiranya rumusan yang dibuat tidak mencukupi jumlah perkataannya boleh menyebabkan anda kehilangan markah.

bersambung...















Tiada ulasan: