Selasa, 19 Jun 2012

BAHAN ESEI


INDUSTRI PELANCONGAN
DAN PERHOTELAN HIJAU

Pelancongan berkonsepkan ‘Hijau’ member peluang kepada pelancong domestik dan manca negara meneroka landskap semulajadi Malaysia untk menikmati udara bersih dan melihat kepelbagaian hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan. Pelancongan hijau merupakan sub-sektor industry pelancongan yang paling pesat berkembang di serata dunia. Begitu juga dengan eko-pelancongan yang menjadi bentuk pelancongan yang pesat berkembang di negara ini dan menyumbang sebanyak 10% daripada pendapatan sector pelancongan negara.
gambar hiasan

Malaysia dikurniakan dengan pulau-pulau dan kawasan terumbu karang yang cantik. Ramai pelancong asing datang untuk menyaksikan dan menikmati keindahan semulajadi dan melakukan aktiviti snorkelling. Hasil daripada permintaan yang tinggi, jumlah kunjungan pelancong melebihi kapasiti muatan. Aktiviti rekreasi manusia dan juga faktor cuaca (28°-30° c) telah menyumbang kepada kelunturan karang. Kesan ini amat ketara apabila Jabatan Laut Malaysia telah menutup beberapa kawasan pulau taman laut. Penutupan ini telah dibuat pada 2 Julai sehingga 31 Oktober 2010, berikutan kelunturan karang yang mencapai tahap 60 hingga 90% (The Star, 2010). Penutupan sembilan lokasi penyelaman di Pulau Tioman dan Pulau Redang merupakan amaran awal kepada semua pihak berkepentingan untuk memainkan peranan dalam mengurangkan tekanan pada ekosistem laut yang rapuh. Penutupan itu merupakan salah satu usaha pemuliharaan batu karang di kawasan berkenaan.

Menurut laporan EcoMalaysia (2010) beberapa kawasan eko-pelancongan di Malysia menunjukkan tanda-tanda penggunaan berlebihan:

·         Wang Kelian di Perlis (batu kapur, gua-gua dan hutan)

·         Kenyir di Terengganu (tasik, aktiviti berperahu, trekking dan memancing)

·         Pulau kukup di Johor (mangrove, kehdupan liar dan makanan laut)

·         Lower Kinabatangan Sungai di Sabah (monyet belalai dan kehidupan liar)

·         Pulau Redang di Terengganu (ikan, terumbu karang dan persekitaran laut yang menarik)

·         Pulau Sipadan di Sabah (ikan, terumbu karang  dan persekitaran laut menarik)

Istilah hotel hijau (green-hotel) juga seringkali digunakan. Ini menggambarkan hotel yang berusaha untuk menjadi lebih mesra alam melalui kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan-bahan mesra alam disamping memberikan perkhidmatan yang berkualiti (Alexander, 2002). Sebanyak 10 hotel di Malaysia telah diiktiraf sebagai Hotel Hijau. Hotel dan resort yang diiktiraf sebagai “Green Leaf Hotel” telah Berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 20%, air 10%, kertas 10% dan sampah 20%.

Kepelbagaian alam sekeliling merupakan sumber asas pelancongan, di mana tanpa perlindungan, daya tarikan pelancongan akan hilang begitu sahaja. Pengusaha industry pelancongan dan perhotelan hijau yang bertanggungjawab perlu memelihara dan memulihara alam sekitar dengan menyimpan air, mengurangkan penggunaan tenaga dan mengurangkan sisa pepejal untuk menjamin peningkatan kualiti hidup generasi akan datang.

Sumber bahan: Majalah EraHijau-terbitan Jabatan Alam Sekitar Malaysia


Rabu, 13 Jun 2012

PEMBACAAN KRITIS DAN ANALITIS

Sampel Soalan


Bahagian B
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab semua soalan.

Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu  mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan, ia perlu dibuang jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri.
Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak. Pertama, ia akan mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.

Rakyat dan pengguna tempatan tidak diberikan maklumat lengkap serta tidak tahu mana satu barangan buatan tempatan atau diimport bagi memudahkan mereka membuat pilihan. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barang buatan tempatan, serta kurang bergantung kepada produk import.  Cara seterusnya, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja. Tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan dalam kalangan rakyat negara ini yang turut menyumbang kepada penurunan ringgit disebabkan merek mudah memperolehi kemudahan kredit.
Pihak media perlu bersedia membantu kerajaan dalam usaha membangunkan semangat pembelian barangan buatan Malaysia daripada segi mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan malaysia. Usaha mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu merangsang ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia.
Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja melepaskan batuk di tangga.

Kesimpulannya, tabiat rakyat dan pemimpin perlu diubah. Adalah malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita. Jika bukan kita rakyat Malaysia yang mengutamakan dan memilih barangan buatan tempatan, siapa lagi?

(Dipetik dan diubahsuai daripada laman web Pusat Maklumat Rakyat)

1.    Jelaskan maksud frasa

 a.       ...kita perlu mengikis sikap ego...( baris 5 dan 6 )                                       [ 2 ]

b.      ...bukan sekadar bekerja melepaskan batuk di tangga ( baris 31)                 [ 2 ]

2.    Apakah mesej yang mahu disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas      [ 6 ]


3.    “...membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba serbi” ( baris 8 )

Beri ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai.

Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebik daripada 150 patah perkataan     [20 ]


Selasa, 12 Jun 2012


SISTEM MODULAR STPM BAHARU
Minggu orentasi pelajar pra U: Bersediakah mereka dengan modul baharu ini? Setiap pelajar perlu menyiapkan komponen PBS. Cabaran baharu kepada pensyarah juga lah ya!!

Di sini ada maklumat yang boleh dikongsi bersama berkaitan sistem modular tersebut yang saya dapatkan daripada laman web berkenaan. SILAKAN BACA DAN FAHAMI!

Kerja Kursus

 1 Pengenalan

 Dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Bahasa Melayu yang baharu, komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diterapkan kepada calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Melalui PBS, calon dikehendaki menyediakan dua kerja kursus, iaitu kerja kursus pada penggal kedua dan kerja kursus pada penggal ketiga. Wajaran markah bagi komponen kerja kursus sepanjang pengajian tingkatan enam ialah 25%. Markah bagi komponen kerja kursus ini dijumlahkan dengan markah peperiksaan yang dikendalikan oleh MPM dalam setiap penggal bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred Keseluruhan.

 Pada penggal kedua, calon dikehendaki mengarang esei berformat manakala pada penggal ketiga, calon dikehendaki menghasilkan penulisan ilmiah. Panduan dan arahan tugasan akan diberikan melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my.

Tugasan adalah berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

2. Objektif Tujuan kerja kursus ini diadakan adalah untuk menilai dan memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon dalam

(a) memahami dan mengaplikasi pengetahuan dan sistem bahasa Melayu
(b) menerapkan dan mengaplikasi domain kemahiran insaniah dalam mata pelajaran ini
(c) menerapkan kesedaran calon bahawa pembelajaran mata pelajaran ini adalah berasaskan pembelajaran sepanjang penggal
(d) mengaplikasi pembelajaran dengan kaedah, teknik, dan strategi yang ilmiah seperti dengan memperoleh ilmu melalui sumber kajian, pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber, dan menyampaikan dapatan dan maklumat dalam bentuk komunikasi yang teratur, jelas, dan sahih.

3. Kerja kursus Penggal Kedua – Penulisan Esei Berformat

1. Pelajar dikehendaki menyediakan esei berformat secara individu.

2. Guru hendaklah menyediakan tajuk soalan esei berformat kepada pelajar.

3. Pelajar dikehendaki menulis sekurang-kurangnya tujuh esei, iaitu satu esei bagi setiap format. Ketujuh-tujuh esei tersebut hendaklah disemak dan markah purata akan dihantar kepada MPM.

4. Pelajar dikehendaki menulis esei berformat dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.

4 Kerja kursus Penggal Ketiga – Penulisan Esei Ilmiah

 1. Esei ilmiah dihasilkan secara berkumpulan dan dibentangkan oleh setiap ahli kumpulan mengikut bahagian masing-masing. Guru mentaksir pembentangan esei tersebut secara individu.

2. Setiap ahli dalam kumpulan dikehendaki membuat pembentangan selama lima minit. Lima minit lagi diperuntukkan untuk sesi soal jawab bagi setiap kumpulan.

3. Bagi calon persendirian individu, esei ilmiah dihasilkan dan dibentangkan secara individu.

4. Dalam sesi soal jawab, satu soalan daripada guru dan dua soalan daripada pelajar hendaklah dibuka kepada semua ahli kumpulan untuk dijawab.

5. Calon digalakkan untuk menggunakan alat bantu yang sesuai, seperti power point, LCD, OHP, atau lain-lain untuk memaparkan isi penting pembentangan.

6. Calon tidak dibenarkan membaca keseluruhan teks daripada hasil kajian.

7. Semangat kerja berpasukan hendaklah jelas kelihatan semasa membuat pembentangan.

8. Markah penuh pembentangan sebanyak 50 markah diberikan untuk aspek kerelevanan, kelancaran, keterampilan, kebahasaan, dan penggunaan alat bantu. Wajarannya ialah 40%. Pemberian markah kepada setiap individu adalah berdasarkan prestasi pembentangannya.

9. Markah penuh penulisan esei sebanyak 50 markah diberikan untuk tajuk kajian, senarai kandungan, penghargaan, pendahuluan, objektif kajian, kaedah kajian, dapatan kajian, rumusan kajian, lampiran, dan bibliografi/rujukan. Wajarannya ialah 60%. Setiap ahli kumpulan diberikan markah yang sama bagi penulisan esei yang dihasilkan.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
sumber asal:Laman web Bahasa Melayu STPM
Sumber : Sukatan Pelajaran Sistem Modular Bahasa Melayu