Selasa, 12 April 2011

RASUAH : Ketelusan SPRM


SPRM

Kita lihat ada perubahan besar dalam usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah. Walaupun nampak sukar, maksudnya tidak semudah membasmi kemiskinan dan miskin tegar. Bermula dengan penjenaman Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang digantinama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar tahun 2008, pihak kerajaan tidak menoleh kebelakang lagi di mana satu rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mengandungi 74 fasal dan sembilan bahagian menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997. Akta ini mula diguna pakai mulai awal tahun 2009. SPRM diketuai seorang Ketua Pesuruhjaya yang dilantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam. Dalam pada itu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) ditubuhkan yang berfungsi untuk menasihati berkaitan segala aspek masalah rasuah dan strategi suruhanjaya untuk membenteras rasuah di negara ini. SPRM juga dikatakan telah mengambilkira input daripada Suruhanjaya Bebas Antirasuah (ICAC) di Hong Kong dan New South Wales (NSW), Australia yang diiktiraf sebagai badan pencegah rasuah terbaik dunia.

Akta ini dibuat sebagai satu usaha untuk mewujudkan integriti pentadbiran sektor awam dan swasta melalui penubuhan badan yang lebih bebas dan bertanggungjawab dalam pencegahan rasuah. Hasilnya kita boleh lihat seperti yang dilaporkan dalam media semasa banyak tangkapan yang melibatkan penjawat awam pelbagai peringkat jawatan yang didakwa terlibat dengan "wang pelincin" ini. Malah kalangan orang politik juga tidak terkecuali. Satu usaha dan pencapaian yang membanggakan.
Melalui akta dan undang-undang ini juga dapat memberi satu pendedahan secara didikan kepada semua pihak termasuklah pihak berkuasa, pegawai awam dan masyarakat keseluruhannya tentang bahaya dan natijah buruknya rasuah terhadap pentadbiran awam mahupun pentadbiran swasta juga komuniti. 
Senarai fungsi dan tugas pegawai SPRM juga termaktub dalam akta ini, antaranya menerima dan menyiasat aduan, membantu dari segi nasihat kepada orang awam mengenai cara rasuah dihapuskan, dan memberi didikan kepada masyarakat untuk menentang amalan rasuah disemua peringkat. Malah melalui akta ini juga satu Jawatankuasa Khas untuk menasihati Perdana Menteri mengenai rasuah juga ditubuhkan. Jawatankuasa ini juga akan memeriksa dan mendapatkan penjelasan laporan oleh suruhanjaya.
Bagi menambah ketelusan fungsi SPRM ini satu Jawatankuasa Aduan juga turut diwujudkan yang berfungsi untuk memantau pengendalian suruhanjaya dan salahlaku pegawai SPRM. Selain itu, Pendakwa Raya juga diperuntukkan kuasa untuk pendakwaan kes bagi memulakan prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen seperti dalam fasal 58 rang undang-undang SPRM.
Menjadi harapan masyarakat agar SPRM sebagaimana termaktub dalam fungsi dan tanggungjawabnya akaan membawa satu situasi baharu dalam pengurusan semua pentadbiran awam mahupun swasta di negara ini. Masyarakat awam akan lebih yakin bila berurusan di jabatan kerajaan. Soal layanan 'istimewa' kepada orang-orang tertentu tidak akan terdengar lagi. Tidak akan ada lagi 'bolos' di semua pintu masuk negara. Tidak mudah lagi 'barangan' import bergerak keluar pelabuhan tanpa dikenakan cukai atau duti. Tidak ada lagi penguatkuasa minta 'wang kopi' terhadap pesalah jalanan, PATI dan sebagainya. Tegasnya tidak ada lagi 'wang pelincin' atau 'saguhati' dalam kamus penjawat awam dan sesiapa sahaja. 

Nota : sumber rujukan akhbar Berita Harian.

Tiada ulasan: