Khamis, 28 April 2011

GANGGUAN SEKSUAL : Perilaku terancang atau didorong?


Sebenarnya sudah sekian lama isu gangguan seksual ini muncul, cuma di negara kita perkara ini masih boleh dianggap baru dalam kamus kehidupan seharian. Walaupun gangguan tersebut pernah berlaku sekian lamanya, namum masyarakat kita tidak 'ambil kisah' andai pun berlaku. Perasaan malu untuk memberitahu atau berkongsi dengan orang lain termasuk mereka yang dekat dengan kita kerana bimbang akan dikatakan  "kau yang gatal" atau "alah! tepuk tangan sebelah tak kan berbunyi". Ini pastinya yang melanda kaum wanita ketika itu. Tetapi isu dan masalah gangguan seksual ini sebenarnya mula diperdebatkan oleh pejuang-pejuang hak wanita di negara-negara maju (barat) dan perjuangan ini mula menjalar di dunia timur termasuklah di negara kita.

Adakah kita begitu faham apa yang dikatakan dengan gangguan seksual ini?Ada pelbagai pentafsiran yang dibuat oleh para pengkaji. Berdasarkan rujukan bacaan gangguan seksual dapat difahami sebagai semua perilaku atau perbuatan atau tindakan berunsur seks yang sengaja dan bukan 'diminta-minta' malah berlaku secara berulang. Perbuatan tersebut telah menimbulkan rasa tidak tenteram, tidak selamat, resah dan ketakutan terhadap mangsa.
 Hiasan sahaja

Siapa pelakunya? Ya! sudah pasti kaum lelakilah yang suka buat kerja seperti ini. Sama ada lelaki hidung belang atau lelaki yang pendiam. Sudah tentulah mangsanya kaum wanita tanpa mengira usia, cantik atau tidak, berpangkat atau wanita biasa. Tetapi, jangan tidak percaya gangguan seksual juga boleh berlaku terhadap kalangan lelaki. Lelaki yang menjadi mangsa ini biasanya apabila dalam kumpulan atau tempat kerja yang majoritinya wanita. Malah ada kes wanita yang menganggu wanita secara seksual. Biasanya gangguan seksual berlaku di tempat kerja.

Perbuatan macam apa yang dikaitkan dengan gangguan seksual. Dapat dilihat berdasarkan senarai dibawah ini:
  1. Kata-kata yang berbau lucah yang ada niat terselindung disebalik ungkapan itu,
  2. Kritikan, penghinaan, ugutan dan penganiayaan berunsur seksual
  3. Pandangan dan renungan mata, jelingan, dampingan fizikal yang tidak disukai (cubitan, sntuhan, usapan, ciuman, memeluk dan meraba)
  4. Adanya isyarat berunsur lucah seperti siulan, bermain lidah dibibir dan lain-lain
  5. Mempertontonkan atau menampal gambar-gambar berunsur lucah, melukis gambar lucah,
  6. Menulis surat berunsur lucah,
  7. Menghantar mesej dan email memuji kecantikan rupa paras, bentuk badan atau mengajak dating.
  8. Menunjukkan kemaluan dan anggota badan yang tidak sepatutnya
  9. Makan dengan cara menggoda.
Apa yang disenaraikan di atas merupakan tingkahlaku untuk merapati orang lain dengan tujuan seksual. Dapat kita klasifikasikan lagi merujuk kepada perbuatan berbentuk isyarat, perbuatan berbentuk visual, berbentuk fizikal dan gangguan secara psikologi dan lisan.

Namun, kita harus ketahui bahawa gangguan seksual tidak diletakkan dibawah kesalahan jenayah secara spesifik, tetapi dikategorikan dalam perbuatan "mencabul kehormatan". Mungkin masyarakat kita belum menganggap ianya perkara yang sangat serius atau berat dengan lain kata kita memandang ringan saja perbuatan ini, maka gangguan seksual belum di anggap jenayah.

Walau bagaimanapun satu usaha yang boleh dibanggakan apabila pihak Kementerian Sumber Manusia ketika itu dalam tahun 1999 telah memperkenalkan "Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja" telah dilancarkan. Walaupun kod ini bukan undang-undang, tetapi merupakan garispanduan semakan dalaman oleh mana-mana syarikat.

bersambung....

Tiada ulasan: