Ahad, 12 Jun 2011

INTEGRITI

Apa maksud Integriti?

Saya percaya ramai antara kita yang baharu mendengar perkataan integriti yang dalam bahasa Inggeris disebut integrity. Sebenarnya perkataan integriti sudah lama wujud dalam Kamus Dewan, cuma dari sudut pemakaian perkataan tersebut dalam percakapan seharian amat jarang sekali kita gunakan. Kalau kita dengar pun perkataan itu sama ada dalam media atau ucapan tokoh-tokoh tertentu, kita mengambil sikap pura-pura tahu, walaupun sebenarnya kita tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan integriti itu. Mungkin juga sebahagian kita lebih merujuk kepada pemahaman yang bermaksud 'berkaitan rasuah".

Dalam Kamus Dewan, integriti bermaksud "kejujuran, keutuhan, keadaan sempurna dan utuh". Menurut kamus Oxford Dictionary, Integrity ialah wholeness, soundness, uprightness, honesty. Jadi, integriti bukanlah semata-mata rasuah, tetapi juga berkait rapat dengan keseluruhan sifat kejujuran dan ketelusan. Dalam sebuah terbitan bertajuk "Dari Akar Hingga Buahnya" terbitan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengambarkan "Integriti bagaikan pokok yang berdiri teguh di hutan. Akarnya dalam, menunjangi yakni menyokong batang yang besar lagi tinggi yang mempunyai rimbunan dedaun menghijau sebagai mahkotanya....". Sesiapa yang memiliki integriti akan berdiri teguh yang tidak akan mudah goyah dan terpujuk kepada kebendaan umpama pokok tersebut yang sifatnya kuat dan tidak mudah digugat. 

Oleh itu, bila kita membicarakan tentang integriti, maka perlu kita merujuknya sama ada individu itu sendiri atau individu sebagai penjawat awam dan sesebuah organisasi atau pertubuhan. Ini kerana setiapnya mempunyai tindakan sehari-hari yang bertaut rapat dengan etika. Dalam individu, integriti bolehlah dilihat sebagai 'cakap serupa bikin". Apa yang seseorang itu katakan haruslah selari dengan tindakan dan yang dikotakannya. Tindakannya pula bermoral, mengikut peraturan sedia ada dan beretika yang konsisten dalam apa juga perkara yang selari antara kepentingan diri dengan kepentingan orang ramai. Tetapi jika berlaku pula "cakap tak serupa bikin" individu tersebut bolehlah dianggap dan dikatakan tidak berintegriti.

Sementara jika kita melihat individu sebagai kakitangan awam atau penjawat awam, sudah tentulah kita melihatnya integriti sebagai mereka yang telah diberi tanggungjawab dan amanah yang pelaksanaannya harus dipertanggungjawabkan untuk kepentingan umum. Di bahu mereka ada amanah, jadi integriti dalam konteks penjawat awam merujuk kepada melaksanakan anamah dan kuasa yang ada untuk kepentingan umum bukannya untuk kepentingan diri sendiri, rakan taulan, saudara mara atau kroni atau kerana ada kepentingan lain, kata orang "ada udang di sebalik mee". Seseorang penjawat itu harus mempunyai dan menunaikan setelus dan setulus sama ada untuk masyarakat, bawahannya malah kepada ketuanya. Aspek ini harus diutamakan. penjawat awam tidak boleh membiarkan amanah dan kuasa yang dimilikinya diatur dan dikuasai oleh pihak lain.

Sesebuah organisasi juga perlu ada integriti. Untuk melihat organisasi yang berintegriti, bolehlah kita melihat dalam aspek pelaksanaan kod etika, wujud piagam pelanggan, memiliki proses kerja yang teratur dan pematuhan kepada amalan terbaik. Semua aspek ini harus dihayati, diamalkan oleh kakitangannya sebagai satu kebiasaan yang membudaya dalam organisasi berkenaan dan bukan sebaliknya aspek tersebut hanyalah sebagai hiasan dinding dan hanya untuk dibaca atau diceritakan kepada pihak lain, tetapi pengamalan dalaman sendiri tidak berlaku.

Berdasarkan itu integriti akan terpancar sekiranya nilai-nilai elok sebagai jati diri dalam keluarga, masyarakat keseluruhannya seperti ketelusan, beramanah, keikhlasan dalam bekerja, tidak menipu, dipercayai, menepati masa dan memiliki sikap keterbukaan bila dikritik dan ini menjadi amalan serta tauladan dan secara bersama kita lakukannya serta ditunjangi dengan akar sistem yang cekap dan berkualiti sudah tentunya kita dianggap berintegriti. Sebaliknya jika lemah dan hilang integriti dalam pola kehidupan seharian sudah tentu mereka yang memiliki kuasa akan menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri, tidak bertanggungjawab dan tidak produktif yang akhirnya mewujudkan satu sistem pengurusan dan perkhidmatan yang lemah dan terbengkalai. Ini akan menjadi bertambah parah apabila semua kita tidak mengambil berat dan tidak sensitif dengan apa yang berlaku.





Tiada ulasan: