Rabu, 4 Mei 2011

KOMUNIKASI SECARA ELEKTRONIK - Apa Dampaknya?

 foto hiasan

"Dunia semakin kecil" itulah gambaran betapa mudahnya manusia yang mendiami bumi ini bergerak, berhubung, dan melihat keseluruhan alam bumi ini. Kalau sebelum era kemerdekaan amat sukar untuk  mempercayai bahawa seseorang itu boleh bercakap secara langsung dengan orang lain yang tinggal berjauhan, atau tinggal di kampung, di bandar, di luar negeri. Awal penciptaan alat telekomunikasi oleh Alexander Graham Bell sekitar tahun 1875. Maka, bermulalah era komunikasi secara jarak jauh menggunakan vokal atau suara yang boleh menghubungkan sesiapa sahaja yang memiliki telepon pada zaman itu. Walaupun sezaman dengannya sudah ada alat untuk menghantar maklumat yang menggunakan isyarat atau kod bunyi tetapi bukannya untuk kegunaan awam, tetapi lebih kepada operasi oleh pihak pemerintah sahaja. Ratusan tahun telah berlalu, pelbagai inovasi telah berjaya dicipta untuk menghasilkan alat telekomunikasi secara elektronik telah muncul kemudiannya. Kini, telekomunikasi secara elektronik yang sangat canggih telah terhidang untuk sesiapa sahaja memiliki dan menggunakannya seperti, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), blog, facebook dan twitter. Dunia bukan lagi semakin kecil tetapi amat kecil sekali. Penggunaannya meliputi seluruh pelusok dan ceruk dunia. Namun, apakah dampak atau kesan yang sudah semestinya timbul dengan kemajuan teknologi bidang tersebut?

Dampak positif

Melihat kelebihan dan kemudahan yang disediakan sudah pasti telekomunikasi secara elektronik ini membantu kita dalam menghantar segala macam bentuk maklumat secara pantas, berkesan ke mana sahaja arah tempat yang kita mahu hantar tanpa mengira batasan masa dan sempadan. Sebelum adanya kemudahan seperti ini, seseorang itu terpaksa menunggu beberapa hari malah berminggu untuk mengirim dan menerima surat dan sebagainya. Sekarang hanya dalam sekelip mata semua maklumat dapat dihantar dan segala urusan dapar diselesaikan seperti menghantar surat, membuat bayaran pembelian barangan atau bayaran bil-bil secara on-line, menempah tiket penerbangan, semakan keputusan peperiksaan, semakan kemasukan ke IPT dan banyak lagi termasuklah menghantar gambar. Jelas itu semua kelebihan yang dinikmati dengan kemudahan teknologi telekomunikasi yang amat canggih sekarang.

Kita juga dapat berhubung dan berkomunikasi secara langsung dengan keluarga, sahabat handai, orang yang tersayang dan sesiapa sahaja yang kita boleh hubungi walau di mana sahaja mereka berada. Ini membantu kita sama ada untuk bertanya khabar, menghantar berita dan maklumat dalam jangka masa sedetik sahaja. Contohnya sekarang ramai orang berhubung melalui facebook, skype dan twitter. Mereka boleh berhubung sama ada semasa di rumah, di pejabat, dalam kenderaan ataupun perjalanan. Dengan kemudahan internet jalur lebar semua ini dapat kita capai dengan mudah sekali. Tidak ada halangan masa asalkan kita memiliki kemudahannya iaitu komputer ataupun handphone dan lain-lain alat telekomunikasi yang menyediakan kemudahan capaian internet. Secara tidak langsung juga dapat mengeratkan silaturrahim antara anggota keluarga dan rakan sahabat.


Sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi, perubahan juga berlaku dalam corak dan cara menjalankan perniagaan. Kalau dahulu, sekiranya syarikat ataupun individu hendak memperkenalkan produknya kepada pengguna, mereka terpaksa berjumpa secara terus dengan pengguna tersebut. Berlakulah sesi memperkenalkan dan mempromosi produk yang hendak dijual, berlaku tawar menawar dan sebagainya yang kadang-kadang mengambil masa untuk mengurus dan menyelesaikannya. Keadaan seperti itu mulai berkurangan sejak kebelakangan ini. Melalui kemudahan telekomunikasi internet semua bentuk perniagaan banyak dijalankan melalui paparan laman web atau blog sesebuah syarikat tersebut atau oleh individu. Mereka boleh melaksanakan perniagaan melalui  internet ini sama ada di rumah atau di mana-mana sahaja. Secara tidak langsung seseorang itu boleh menjana pendapatan mereka tanpa bersusah payah ke sana kemari dan mengambil masa yang lama. Malah bentuk paparan promosinya tentu lebih menarik dan boleh mempengaruhi pengguna atau pembeli untuk membelinya. Pengguna pula bebas untuk memilih barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan tanpa ada rasa tekanan dan terganggu. Bila-bila masa mereka boleh melayari laman web berkenaan dan sekiranya hati sudah berkenan dengan satu-satu produk itu  mereka terus boleh membuat pembeliaan secara on-line.

bersambung....

Tiada ulasan: