Rabu, 2 November 2011

TIP UNTUK MENJAWAB SOALAN BAHASA MELAYU KERTAS 2 STPM

Saya percaya minggu-minggu terakhir sebelum menjelangnya hari sebenar peperiksaan bertulis STPM, pelbagai cara dan usaha telah dan akan dibuat oleh setiap calon bagi mempastikan mereka boleh menjawab mengikut format dan kehendak soalan sebenar. Di sini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan dengan perkara penting yang harus setiap pelajar ketahui dan kuasai supaya jawapan yang diberikan mampu menghasilkan markah yang semaksima mungkin.

Mungkin sebahagian pelajar sudah mengetahuinya, namun saya percaya maklumat ini tetap akan membantu bagi pelajar-pelajar yang gemar 'bertindak disaat-saat akhir'.

Anda perlu ingat dan sedar bahawa anda menjawab  Bahasa Melayu-kertas 2 iaitu keseluruhannya melibatkan penulisan. Penulisan dalam bahasa Melayu sudah pastinya tidak sama dengan menjawab kertas subjek yang lain. Maksud saya ialah menjawab soalan Bahasa Melayu kertas 2 ini pelbagai aspek yang dinilai. Penilaian boleh terjejas sekiranya TULISAN anda tidak boleh dibaca. Bukan bermakna tulisan mesti cantik, tetapi tulisan mestilah boleh dibaca (menurut kata seorang pemeriksa, maklumlah kebanyakan pemeriksa dah tua-tua). Sekiranya tulisan sukar dibaca akan MENYUKARKAN IDEA DIFAHAMI/DIBACA oleh pemeriksa. Oleh itu, perlulah setiap calon itu mempastikan tulisan bagi jawapannya boleh dibaca.

MENJAWAB SOALAN BAHAGIAN A (Karangan)

Terlebih dahulu jangan abaikan membaca dan memahami ARAHAN menjawab soalan. PASTIKAN berapa jumlah patah perkataan yang dikehendaki. Lazimnya 650-700 patah perkataan. Mutakhir ini saya difahamkan sekiranya patah perkataan yang dikehendaki sebanyak 700, maka perkataan terakhir merupakan perkataan yang ke 700(ikut arahan). 
Langkah seterusnya, baca dan fahami setiap soalan (4 soalan) yang dikemukakan. Fahami KEHENDAK soalan . Pilih soalan yang anda kuasai aspek beikut:-
                                                    - Tajuk/isunya
                                                    - KEHENDAK  soalannya
                                                    - Jika berformat, anda TAHU tepat formatnya
                                                    - Jenis Pendahuluan
                                                    - Dalam fikiran anda TERSEDIA 5-6 ISI/fakta
                                                    - Boleh membuat HURAIAN- mengapa/bagaimana/Bila
                                                    - Boleh mengemukakan CONTOH -menepati fakta (nyatakan sumber
                                                      jika perlu)

Andai kata kriteria di atas anda miliki, jangan ragu-ragu kerana anda BOLEH.

Untuk menghasilkan karangan yang baik dan berkesan malah relevan, secara formatnya anda tentunya sudah didedahkan. Apa yang penting dalam membina PENDAHULUAN aspek pemilihan cara penyampaian juga harus diberi penekanan. Anda boleh memilih sama ada memulakan pendahuluan dengan cara mengemukakan:

- Definisi/Konsep : sekiranya anda merujuk kamus, maka defnisi mestilah menepati seperti dalam kamu yang anda rujuk itu.

- Petikan /Ucapan tokoh : Nama tokoh/gelarannya perlu betul. Di mana ucapan itu dibuat juga perlu diambil kira

- Fakta : Biasanya dari sumber jurnal/buku/dll

- Situasi : Gambaran peristiwa/berita

- Peribahasa /Pantun: Mesti menepati isu dalam soalan

- Mengaitkan langsung dengan pernyataan/kehendak soalan.

Pendahuluan yang BAIK dengan mengemukakan idea yang TEPAT dan JELAS boleh menyumbangkan 3 markah penuh untuk pendahuluan. Tetapi, mungkin ini sukar diperolehi tetapi tidak mustahil sekiranya anda mengikut caranya.

Dalam menghasilkan perenggan ISI, anda juga perlu menguasai dan memahami beberapa aspek yang telah dinyatakan diatas. Setiap karangan yang baik harus menonjolkan 5-6 perenggan ISI yang setiap perenggannya HARUS mengandungi perkara berikut:

- Fakta/isi  : APA (isu semasa-mengikut kehendak soalan: faktor/langkah,dll)

- Huraian : Mengapa/Bagaimana/Bila

- Contoh/Statistik : Apa(tepat dengan fakta/isi utama) , sebaiknya berikan sumber data diperolehi

- Kesimpulan kecil (akhir perenggan) : Penegasan isi/fakta (digalakkan juga dalam simpulan bahasa, pepatah, bidalan dll), gunakan penanda wacana Oleh itu,.... 
(JANGAN guna perkataan Kesimpulannya....)

Perenggan ISI yang BAIK boleh menyumbangkan 3 markah penuh setiap isi sekiranya fakta/isi tersebut tepat, huraian jelas dengan memfokuskan kepada topik/isi utama.

Perenggan KESIMPULAN juga tidak boleh diabaikan atau dibuat asal siap sahaja. Hal ini kerana 3 markah juga diperuntukkan untuk perenggan penutup yang BAIK dan MEYAKINKAN. Pengolahan perenggan ini sebaiknya dimulakan dengan perkataan Kesimpulannya,...diikuti dengan penegasan isi/fakta yang dikemukakan. Sertakan cadangan (jika perlu) yang bersesuaian.

CATATAN:
Untuk perenggan kesimpulan, ELAKKAN anda memulakan dengan menggunakan perkataan KONKLUSINYA/NATIJAHNYA.

Peribahasa yang salah akan ditolah markah bahasa.