Isnin, 2 Mei 2011

KESAN GANGGUAN SEKSUAL TERHADAP PENJAWAT AWAM DAN ORGANISASI

Oleh kerana kes-kes gangguan seksual sering melibatkan kalangan mereka yang bekerja di pejabat, maka adalah lebih baik secara keseluruhan perbincangan kali ini memaparkan kesan yang boleh berlaku terhadap penjawat awam atau swasta yang bekerja di pejabat. Masalah ini juga boleh menyebabkan sesebuah organisasi atau jabatan itu mengalami masalah kesan daripada kakitangannya terlibat dengan kes ini.

Dampak negetif akibat gangguan seksual:

A. Kesan kepada individu yang kena ganggu
  1. Secara fisiologinya mereka yang mengalami gangguan seksual akan memperlihatkan ciri-ciri orang yang sakit, sama ada sakit kepala, tidak selera makan, mengalami mimpi buruk sewaktu tidur. Malah mengalami penurunan berat badan yang tidak menentu.
  2. Kebiasaannya cuba menghindarkan diri daripada rakan-rakan, sering kali mengelak untuk datang ke tempat kerja yang boleh menjejaskan kualiti kerja dan peluang-peluang dalam kerjayanya.
  3. Menunjukkan tanda-tanda kemurungan, kerisauan, mengalami fobia, ketakutan, tiada keyakinan diri, mudah marah, selalu mengelakkan diri dan selalu dilihat mudah menrendah dan menyalahkan diri sendiri. Malah sering berlaku pergaduhan sesama keluarga.
  4. Kesan yang lebih buruk boleh menyebabkan pegawai tadi mudah terjerumus dengan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dengan alasan untuk menenangkan fikiran dan sebagainya.
B. Kesan terhadap organisasi:
Organisasi atau jabatan adalah tempat seseorang pegawai awam atau swasta bekerja dan mendapat gaji atau pendapatan. Tempat masyarakat mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan. Sudah pasti sekiranya kejadian gangguan seksual berlaku dalam organisasi tersebut dan menimbulkan kesan ke atas pegawainya seperti yang dinyatakan di atas, sudah pasti boleh menjejaskan operasi organisasi seperti berikut:
  1. Hilang tumpuan terhadap kerja, kualiti kerja menurun dan tidak ada motivasi boleh menyebabkan operasi keseluruhan organisasi atau jabatan terjejas dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang berurusan dengan mereka,
  2. Imej organisasi atau jabatan akan tercalar sekiranya kes ini dilaporkan dalam media massa
  3. Kaki tangan yang terlibat akan meletak jawatan secara tidak langsung menganggu tugasan atau pengurusan kerana ketiadaan pegawai yang melaksanakan tugasan. Sesetengah organisasi mungkin terpaksa mengambil dan melatih pekerja baharu dan ini sudah pasti mengambil masa dan meningkatkan kos.
C. Kesan kepada mereka yang melakukan gangguan seksual
  1. Pastinya timbul rasa malu dalam keluarga dengan perbuatan tersebut. Hubungan sesama keluarga akan terjejas dan hilang rasa hormat, hilang kepercayaan dan keyakinan. Mungkin akan dipulau.
  2. Masa depan dalam kerjayanya akan terjejas termasuklah peluang kenaikan pangkat dan penghargaan. Akhirnya boleh meyebabkan seseorang itu dipecat.
  3. Jika sekiranya tuduhan tidak benar juga boleh menjejaskan diri pegawai tersebut kerana terasa malu, hilang keyakinan dengan atasan dan rakan-rakan malah turut menjejaskan kualiti kerja.
 

Tiada ulasan: