Isnin, 6 Jun 2011

BILA CUTI SEKOLAH

 Apabila kita bercerita tentang cuti, semua kita mengambarkan suasana berehat di rumah atau di kampung halaman atau pergi ke mana-mana destinasi yang menjadi pilihan masing-masing. Namun ada juga bila bercuti disebabkan sakit, maknanya tidak pergi kerja kerana  diberi surat cuti sakit. Cuti juga sinonim dengan sekolah. Macam-macam cuti yang berkaitan sekolah. Di sini kita bercakap mengenai pengisian waktu cuti persekolahan. Ini kerana warga sekolah sekurang-kurangnya mendapat empat kali cuti sama ada seminggu, dua minggu mahupun cuti hujung tahun yang hampir dua bulan itu. Cuti persekolahan bukan bermakna cuti total. Ada pekeliling yang membolehkan pentadbir sekolah mengadakan aktiviti atau memanggil gurunya hadir untuk pelaksanaan apa-apa program yang telah dirancang. Bagaimana pula dengan murid-murid atau pelajarnya?

Bagi sekolah yang mempunyai pengurusan dan guru-guru yang tinggi komitmennya terhadap pencapaian sekolah sama ada untuk mempastikan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan ataupun pelaksanaan aktiviti kokurikulum sudah tentu tidak akan berdolak dalih atau mencari seribu alasan untuk tidak hadir atau melaksanakan apa-apa program sepanjang cuti persekolahan itu. Mereka akan bersikap aktif dan sangat pro aktif merebut peluang waktu cuti untuk memberi bimbingan terbaik kepada anak didiknya. Inilah masanya yang sangat terbaik, kerana batasan masa tidak terhad. Macam-macam bentuk bimbingan akan dilaksanakan sama ada secara terancang melalui program yang dirancang oleh pihak sekolah ataupun melalui inisiatif guru dan pelajarnya.

Namun, dalam sisi demikian tidak dapat dinafikan wujud perasaan dan keinginan untuk tidak melaksanakan apa-apa aktiviti dengan alasan masa cuti kita cutilah, buat apa nak pergi sekolah. Apa lagi ada segelintir guru-guru yang ada 'bisnes' kata orang, sudah sangat pasti inilah masanya mereka nak mengurus 'bisnesnya' itu. Macam-macam 'bisnes' guru-guru kita ceburi, berniaga, urus kebun getah atau kelapa sawit, tanam sayur dan apa-apa 'bisnes' yang boleh mengisi kantong masing-masing. Ada juga yang tak ada apa-apa 'bisnes' tetapi nak berehat sepenuhnya. Jadi kebanyakan kelompok ini akan mengeluh panjang atau menunjukkan sikap protes sekiranya pentadbir sekolah bercadang untuk mengadakan program untuk pelajarnya dalam waktu cuti.

Lalu, apa yang bagusnya  pengisian untuk murid-murid atau pelajar kita andainya situasi kedua di atas berlaku? Pengurusan sekolah harus bijak dan bersikap menang-menang tetapi memberi manfaat kepada muridnya.

Tiada ulasan: