Rabu, 15 Jun 2011

MEMBINA KARANGAN

Struktur Karangan

Anda sudah tahu dalam karangan terdapat tiga bahagian: Pengenalan/Pendahuluan karangan, isi-isi/ tubuh karangan, dan penutup/kesimpulan. Sebenarnya masih ramai pelajar STPM yang tidak menguasai atau memahami struktur karangan ini. Percaya atau tidak, sekiranya anda membaca dan memeriksa karangan rakan anda pasti akan temui sebilangan karangan yang setaraf karangan PMR (satu muka halaman kertas) dan tidak menunjukkan struktur yang betul dan berkesan.

Ya, sekiranya anda sudah tahu dan sering menghasilkan karangan yang baik, adakah anda tahu akan ciri-ciri dan fungsi tiap-tiap  bahagian itu? Setakat kita tahu struktur karangan bukanlah ukuran anda boleh menghasilkan karangan yang berkualiti dan mencapai jumlah perkataan yang dikehendaki. Tidak terlampau sekiranya saya mengatakan para pelajar perlu benar-benar memahami dan menguasai fungsi serta ciri-ciri setiap bahagia struktur karangan tersebut. Kenapa begitu, sebabnya anda perlu menghasilkan sebuah karangan yang utuh dari aspek kerelevanan(pendahuluan, isi, dan penutup), pengolahan yang baik dan berkesan, pemerengganan yang baik dan memaparkan tatabahasa yang betul (kesalahan yang minima). Itulah tujuan anda menulis karangan.

Struktur karangan yang biasa peringkat STPM ialah berstruktur 1 - 5 - 1:  1 peranggan pendahuluan(P1), 5 perenggan isi(P2-P6), dan 1 peranggan penutup/kesimpulan (P7).


PENDAHULUAN -----P1

ISI 1                       -----P2 
ISI 2                       -----P3
ISI 3                       -----P4
ISI 4                       -----P5
ISI 5                       -----P6

PENUTUP             -----P7














1. Pendahuluan
Setiap perkara harus ada pemulanya. Tanpa pemula sesuatu itu tidak dapat dilihat, difahami, dan diketuhui apa yang hendak disampaikan. Dalam konteks ini pendahuluan adalah cerminan awal tentang apa yang akan kita terangkan dalam huraian seterusnya. Pendahuluan merupakan pemula, kepala atau dasar pemikiran utama sebelum kita mnengutarakan hujah-hujah seterusnya. Gambaran pendahuluan yang mantap, berkesan, jitu, dan disertakan fakta yang terkini akan membantu menyerlahkan ketajaman pendahuluan. Sebaliknya, persoalan pokok yang hambar dan fakta yang dibuat secara umum akan menjejaskan keseluruhan pendahuluan. Jadi, antara fungsi pendahuluan adalah untuk mengutarakan persoalan pokok berdasarkan kehendak soalan, dihurai bersulamkan diksi yang sesuai bagi menjelaskan persoalan pokok, ditunjangi fakta berupa contoh dan statistik yang yang sesuai dari sumber yang boleh dipercayai. Akhirnya diakhiri dengan unsur kesimpulan kecil yang mengacu kepada arah tuju perenggan berikutnya.
Isi
Pendahuluan : Persoalan pokok/utama
                         Huraian persoalan pokok/utama
                         Penjelasan huraian (jika perlu)
                         Contoh/statistik (sebaiknya nyatakan sumber)
                         kesimpulan kecil

2. Isi

Peringkat STPM memerlukan anda mengemukakan sekurang-kurangnya 5 isi sebagai hujah untuk menyokong atau menenrangkan tentang isu utama berdasarkan soalan dan jenis karangan yang dikemukakan. Setiap isi hendaklah dihuraikan dalam satu perenggan lengkap dan utuh. Pastikan setiap isi yang dikemukakan relevan dan tidak bercampur beberapa isi. Biasanya berlaku percampuran lebih satu isi dalam satu perenggan apabla pelajar gagal menghurai isi utama selengkapnya atau kadang-kadang pelajar menganggap perkara yang dikemukakan itu adalah huraian, tetapi sebenarnya adalah isi utama. Hal ini biasa terjadi sekiranya anda kurang membuat rujukan. Sepatutnya dalam satu perenggan hanya menumpukan atau berfokus kepada satu isi sahaja.

Setiap isi adalah kesinambungan kepada isi dalam perenggan yang sebelumnya. Oleh itu, setiap akhir perenggan harus ada kesimpulan kecil/ayat topik sebagai contohnya, "Faktor yang lain akan diterangkan dalam perenggan berikutnya". Terdapat pelbagai bentuk ayat yang menggambarkan ayat topik dan kesimpulan kecil tersebut, anda perlu sesuaikan mengikut kehendak soalan. Sebaiknya janganlah mengulangi ayat yang sama, bina berdasarkan penanda wacana yang sesuai dan susunan ayat yang bervariasi tetapi menggambarkan kesimpulan kecil atau ayat topik.  Ayat inilah yang menggambarkan kohesi atau keterkaitan/kesinambungan/bertautan antara perenggan.

Gambaran ringkas struktur isi:

                                               Isi utama
                                               Pernyataan/penegasan isi
                                               Huraian
                                               Fakta/contoh/statistik
                                               Kesimpulan kecil/ayat topik

3. Penutup/Kesimpulan

Perenggan penutup bukan lagi ruang untuk anda mengemukakan isi. Bahagian ini akan memaparkan rumusan bagi semua isi dan huraian yang telah disampaikan dalam perenggan sebelumnya. Kesimpulan hendaklah memaparkan pendirian/penegasan serta harapan tentang tajuk yang anda bincangkan. Ciri penting kepada perenggan ini ialah perkataan awal yang digunakan: Sebagai kesimpulannya..., Sebagai penutup...,Jelaslah bahawa...,Demikianlah..., Sebagai mengakhiri ucapan saya..., dan sebagainya.
bersambung:

Ahad, 12 Jun 2011

INTEGRITI

Apa maksud Integriti?

Saya percaya ramai antara kita yang baharu mendengar perkataan integriti yang dalam bahasa Inggeris disebut integrity. Sebenarnya perkataan integriti sudah lama wujud dalam Kamus Dewan, cuma dari sudut pemakaian perkataan tersebut dalam percakapan seharian amat jarang sekali kita gunakan. Kalau kita dengar pun perkataan itu sama ada dalam media atau ucapan tokoh-tokoh tertentu, kita mengambil sikap pura-pura tahu, walaupun sebenarnya kita tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan integriti itu. Mungkin juga sebahagian kita lebih merujuk kepada pemahaman yang bermaksud 'berkaitan rasuah".

Dalam Kamus Dewan, integriti bermaksud "kejujuran, keutuhan, keadaan sempurna dan utuh". Menurut kamus Oxford Dictionary, Integrity ialah wholeness, soundness, uprightness, honesty. Jadi, integriti bukanlah semata-mata rasuah, tetapi juga berkait rapat dengan keseluruhan sifat kejujuran dan ketelusan. Dalam sebuah terbitan bertajuk "Dari Akar Hingga Buahnya" terbitan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengambarkan "Integriti bagaikan pokok yang berdiri teguh di hutan. Akarnya dalam, menunjangi yakni menyokong batang yang besar lagi tinggi yang mempunyai rimbunan dedaun menghijau sebagai mahkotanya....". Sesiapa yang memiliki integriti akan berdiri teguh yang tidak akan mudah goyah dan terpujuk kepada kebendaan umpama pokok tersebut yang sifatnya kuat dan tidak mudah digugat. 

Oleh itu, bila kita membicarakan tentang integriti, maka perlu kita merujuknya sama ada individu itu sendiri atau individu sebagai penjawat awam dan sesebuah organisasi atau pertubuhan. Ini kerana setiapnya mempunyai tindakan sehari-hari yang bertaut rapat dengan etika. Dalam individu, integriti bolehlah dilihat sebagai 'cakap serupa bikin". Apa yang seseorang itu katakan haruslah selari dengan tindakan dan yang dikotakannya. Tindakannya pula bermoral, mengikut peraturan sedia ada dan beretika yang konsisten dalam apa juga perkara yang selari antara kepentingan diri dengan kepentingan orang ramai. Tetapi jika berlaku pula "cakap tak serupa bikin" individu tersebut bolehlah dianggap dan dikatakan tidak berintegriti.

Sementara jika kita melihat individu sebagai kakitangan awam atau penjawat awam, sudah tentulah kita melihatnya integriti sebagai mereka yang telah diberi tanggungjawab dan amanah yang pelaksanaannya harus dipertanggungjawabkan untuk kepentingan umum. Di bahu mereka ada amanah, jadi integriti dalam konteks penjawat awam merujuk kepada melaksanakan anamah dan kuasa yang ada untuk kepentingan umum bukannya untuk kepentingan diri sendiri, rakan taulan, saudara mara atau kroni atau kerana ada kepentingan lain, kata orang "ada udang di sebalik mee". Seseorang penjawat itu harus mempunyai dan menunaikan setelus dan setulus sama ada untuk masyarakat, bawahannya malah kepada ketuanya. Aspek ini harus diutamakan. penjawat awam tidak boleh membiarkan amanah dan kuasa yang dimilikinya diatur dan dikuasai oleh pihak lain.

Sesebuah organisasi juga perlu ada integriti. Untuk melihat organisasi yang berintegriti, bolehlah kita melihat dalam aspek pelaksanaan kod etika, wujud piagam pelanggan, memiliki proses kerja yang teratur dan pematuhan kepada amalan terbaik. Semua aspek ini harus dihayati, diamalkan oleh kakitangannya sebagai satu kebiasaan yang membudaya dalam organisasi berkenaan dan bukan sebaliknya aspek tersebut hanyalah sebagai hiasan dinding dan hanya untuk dibaca atau diceritakan kepada pihak lain, tetapi pengamalan dalaman sendiri tidak berlaku.

Berdasarkan itu integriti akan terpancar sekiranya nilai-nilai elok sebagai jati diri dalam keluarga, masyarakat keseluruhannya seperti ketelusan, beramanah, keikhlasan dalam bekerja, tidak menipu, dipercayai, menepati masa dan memiliki sikap keterbukaan bila dikritik dan ini menjadi amalan serta tauladan dan secara bersama kita lakukannya serta ditunjangi dengan akar sistem yang cekap dan berkualiti sudah tentunya kita dianggap berintegriti. Sebaliknya jika lemah dan hilang integriti dalam pola kehidupan seharian sudah tentu mereka yang memiliki kuasa akan menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri, tidak bertanggungjawab dan tidak produktif yang akhirnya mewujudkan satu sistem pengurusan dan perkhidmatan yang lemah dan terbengkalai. Ini akan menjadi bertambah parah apabila semua kita tidak mengambil berat dan tidak sensitif dengan apa yang berlaku.





Isnin, 6 Jun 2011

BILA CUTI SEKOLAH

 Apabila kita bercerita tentang cuti, semua kita mengambarkan suasana berehat di rumah atau di kampung halaman atau pergi ke mana-mana destinasi yang menjadi pilihan masing-masing. Namun ada juga bila bercuti disebabkan sakit, maknanya tidak pergi kerja kerana  diberi surat cuti sakit. Cuti juga sinonim dengan sekolah. Macam-macam cuti yang berkaitan sekolah. Di sini kita bercakap mengenai pengisian waktu cuti persekolahan. Ini kerana warga sekolah sekurang-kurangnya mendapat empat kali cuti sama ada seminggu, dua minggu mahupun cuti hujung tahun yang hampir dua bulan itu. Cuti persekolahan bukan bermakna cuti total. Ada pekeliling yang membolehkan pentadbir sekolah mengadakan aktiviti atau memanggil gurunya hadir untuk pelaksanaan apa-apa program yang telah dirancang. Bagaimana pula dengan murid-murid atau pelajarnya?

Bagi sekolah yang mempunyai pengurusan dan guru-guru yang tinggi komitmennya terhadap pencapaian sekolah sama ada untuk mempastikan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan ataupun pelaksanaan aktiviti kokurikulum sudah tentu tidak akan berdolak dalih atau mencari seribu alasan untuk tidak hadir atau melaksanakan apa-apa program sepanjang cuti persekolahan itu. Mereka akan bersikap aktif dan sangat pro aktif merebut peluang waktu cuti untuk memberi bimbingan terbaik kepada anak didiknya. Inilah masanya yang sangat terbaik, kerana batasan masa tidak terhad. Macam-macam bentuk bimbingan akan dilaksanakan sama ada secara terancang melalui program yang dirancang oleh pihak sekolah ataupun melalui inisiatif guru dan pelajarnya.

Namun, dalam sisi demikian tidak dapat dinafikan wujud perasaan dan keinginan untuk tidak melaksanakan apa-apa aktiviti dengan alasan masa cuti kita cutilah, buat apa nak pergi sekolah. Apa lagi ada segelintir guru-guru yang ada 'bisnes' kata orang, sudah sangat pasti inilah masanya mereka nak mengurus 'bisnesnya' itu. Macam-macam 'bisnes' guru-guru kita ceburi, berniaga, urus kebun getah atau kelapa sawit, tanam sayur dan apa-apa 'bisnes' yang boleh mengisi kantong masing-masing. Ada juga yang tak ada apa-apa 'bisnes' tetapi nak berehat sepenuhnya. Jadi kebanyakan kelompok ini akan mengeluh panjang atau menunjukkan sikap protes sekiranya pentadbir sekolah bercadang untuk mengadakan program untuk pelajarnya dalam waktu cuti.

Lalu, apa yang bagusnya  pengisian untuk murid-murid atau pelajar kita andainya situasi kedua di atas berlaku? Pengurusan sekolah harus bijak dan bersikap menang-menang tetapi memberi manfaat kepada muridnya.