PENUTUP
KARANGAN/ ESEI
Bahagian penutup atau kesimpulan karangan merupakan aspek
struktur pelengkap yang wajib ada dalam sesebuah karangan/esei. Pelajar tidak
boleh mengabaikan bahagian ini. Ibarat tubuh tanpa kaki; jelas tidak sempurna
dan tidak menarik. Namun, tidak semua pelajar boleh menghasilkan sebuah
karangan/esei yang mempunyai penutup atau kesimpulan yang terancang sehingga
gagal memberi kesan yang menarik, tepat dan mantap. Pastinya tidak menyumbang
markah penuh. Lebih parah lagi ada kalangan pelajar yang gagal mengemukakan
atau menulis bahagian penutup atau kesimpulan, selalunya diberi alasan tidak
cukup masa.
Kegagalan pelajar mengolah dengan baik dan tidak menggunakan
struktur yang berkesinambungan menyebabkan penutup/kesimpulan lemah dan kurang
menarik. Malah, pelajar ‘malu-malu’ untuk menggunakan peribahasa dan ungkapan
yang menarik dalam perenggan penutup/kesimpulan ini. Pelajar harus kreatif
untuk menggambarkan kematangan dalam karangan/esei tersebut.
(Penyata
Kesimpulan(PK), Huraian(Apa dan kesan), Harapan(Peribahasa), Kebaikan)
Contoh 1:
Contoh 1:
Kesimpulannya, masalah jenayah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama orang awam atau anggota masyarakat. (PK) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang perlunya pembanterasan jenayah dan manfaatnya kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah jenayah tidak dibanteras sudah tentu perkara ini akan menyebabkan orang awam akan sentiasa berasa terancam dan keselamatan diri tidak terjamin. (Huraian – kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan supaya tidak menjadi ancaman besar kepada masyarakat. (Peribahasa/harapan) Sekiranya hal ini dapat menjadi kenyataan, sudah pastilah masyarakat dan negara amnya akan bebas daripada kejadian jenayah. (Kebaikan).
Catatan: Penanda wacana untuk memulakan perenggan kesimpulan, elakkan menggunakan diksi yang tidak jelas atau kurang tepat makna sebenarnya dalam konteks bahasa Melayu, seperti 'konklusinya' sebab perkataan ini asalnya daripada bahasa Inggeris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan