Khamis, 29 September 2011

PENUTUP KARANGAN

Untuk membina sebuah karangan yang lengkap sudah semestinya mempunyai penutup karangan yang baik dan berkesan malah menepati fokus karangan. Penutup karangan boleh disampaikan dalam dua cara sama ada dengan menyimpulkan atau merumuskan isi-is yang telah dihuraikan sebelumnya dan satu lagi membuat penutup dengan cara penegasan pendirian berkaitan fokus yang dibincangkan.

Sebagai perkongsian cuba baca dan analisis contoh penutup karangan di bawah ini:

Contoh penutup secara kesimpulan/rumusan:

Topik : Langkah-langkah kerajaan membendung kemasukan pendatang tanpa izin (PATI)

Jelaslah bahawa pihak kerajaan tidak berdiam diri dalam mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI). Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung masalah tersebut dan langkah-langkah itu bukan sahaja melibatkan agensi kerajaan, malah juga rakyat Malaysia seluruhnya. Andainya semua langkah tersebut terus dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, kita yakin bahawa masalah PATI akan dapat diselesaikan segera. Dalam hal ini, masalah yang amat kritikal dan perlu diberi perhatian dan tindakan ialah mewujudkan kesedaran, keperihatinan dan kesepakatan semua agensi berkaitan bersama masyarakat dalam bertindak.

Contoh penutup secara  penegasan pendirian:

Topik: Kepentingan Pengajaran dan Pembelajaran  Sanis dan Matematik dalam bahasa Inggeris 

Kesimpulannya, dapatlah ditegaskan bahawa, dalam  usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah melalui pengajaran dan pembelajaran subjek sains dan matematik bukanlah satu usaha yang sia-sia. Penguasaan dalam kalangan pelajar luar bandar telah dibuktikan semakin meningkat. Namun, jika dilihat dari segi kemantapan penggunaannya dalam kalangan orang ramai, situasinya masih boleh diperbaiki dan dipertingkatkan lagi. Kepelbagaian kaedah perlu dibina untuk memastikan kita dapat mempertingkatkan penguasaan seluruh masyarakat terhadap bahasa Inggeris ini.




Tiada ulasan: