Selasa, 12 Jun 2012


SISTEM MODULAR STPM BAHARU
Minggu orentasi pelajar pra U: Bersediakah mereka dengan modul baharu ini? Setiap pelajar perlu menyiapkan komponen PBS. Cabaran baharu kepada pensyarah juga lah ya!!

Di sini ada maklumat yang boleh dikongsi bersama berkaitan sistem modular tersebut yang saya dapatkan daripada laman web berkenaan. SILAKAN BACA DAN FAHAMI!

Kerja Kursus

 1 Pengenalan

 Dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Bahasa Melayu yang baharu, komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diterapkan kepada calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Melalui PBS, calon dikehendaki menyediakan dua kerja kursus, iaitu kerja kursus pada penggal kedua dan kerja kursus pada penggal ketiga. Wajaran markah bagi komponen kerja kursus sepanjang pengajian tingkatan enam ialah 25%. Markah bagi komponen kerja kursus ini dijumlahkan dengan markah peperiksaan yang dikendalikan oleh MPM dalam setiap penggal bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred Keseluruhan.

 Pada penggal kedua, calon dikehendaki mengarang esei berformat manakala pada penggal ketiga, calon dikehendaki menghasilkan penulisan ilmiah. Panduan dan arahan tugasan akan diberikan melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my.

Tugasan adalah berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

2. Objektif Tujuan kerja kursus ini diadakan adalah untuk menilai dan memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon dalam

(a) memahami dan mengaplikasi pengetahuan dan sistem bahasa Melayu
(b) menerapkan dan mengaplikasi domain kemahiran insaniah dalam mata pelajaran ini
(c) menerapkan kesedaran calon bahawa pembelajaran mata pelajaran ini adalah berasaskan pembelajaran sepanjang penggal
(d) mengaplikasi pembelajaran dengan kaedah, teknik, dan strategi yang ilmiah seperti dengan memperoleh ilmu melalui sumber kajian, pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber, dan menyampaikan dapatan dan maklumat dalam bentuk komunikasi yang teratur, jelas, dan sahih.

3. Kerja kursus Penggal Kedua – Penulisan Esei Berformat

1. Pelajar dikehendaki menyediakan esei berformat secara individu.

2. Guru hendaklah menyediakan tajuk soalan esei berformat kepada pelajar.

3. Pelajar dikehendaki menulis sekurang-kurangnya tujuh esei, iaitu satu esei bagi setiap format. Ketujuh-tujuh esei tersebut hendaklah disemak dan markah purata akan dihantar kepada MPM.

4. Pelajar dikehendaki menulis esei berformat dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.

4 Kerja kursus Penggal Ketiga – Penulisan Esei Ilmiah

 1. Esei ilmiah dihasilkan secara berkumpulan dan dibentangkan oleh setiap ahli kumpulan mengikut bahagian masing-masing. Guru mentaksir pembentangan esei tersebut secara individu.

2. Setiap ahli dalam kumpulan dikehendaki membuat pembentangan selama lima minit. Lima minit lagi diperuntukkan untuk sesi soal jawab bagi setiap kumpulan.

3. Bagi calon persendirian individu, esei ilmiah dihasilkan dan dibentangkan secara individu.

4. Dalam sesi soal jawab, satu soalan daripada guru dan dua soalan daripada pelajar hendaklah dibuka kepada semua ahli kumpulan untuk dijawab.

5. Calon digalakkan untuk menggunakan alat bantu yang sesuai, seperti power point, LCD, OHP, atau lain-lain untuk memaparkan isi penting pembentangan.

6. Calon tidak dibenarkan membaca keseluruhan teks daripada hasil kajian.

7. Semangat kerja berpasukan hendaklah jelas kelihatan semasa membuat pembentangan.

8. Markah penuh pembentangan sebanyak 50 markah diberikan untuk aspek kerelevanan, kelancaran, keterampilan, kebahasaan, dan penggunaan alat bantu. Wajarannya ialah 40%. Pemberian markah kepada setiap individu adalah berdasarkan prestasi pembentangannya.

9. Markah penuh penulisan esei sebanyak 50 markah diberikan untuk tajuk kajian, senarai kandungan, penghargaan, pendahuluan, objektif kajian, kaedah kajian, dapatan kajian, rumusan kajian, lampiran, dan bibliografi/rujukan. Wajarannya ialah 60%. Setiap ahli kumpulan diberikan markah yang sama bagi penulisan esei yang dihasilkan.

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
sumber asal:Laman web Bahasa Melayu STPM
Sumber : Sukatan Pelajaran Sistem Modular Bahasa Melayu

Selasa, 15 Mei 2012

PERASMIAN SAMBUTAN HARI GURU
SEKOLAH MENENGAH PENGIRAN OMAR, SIPITANG.


"Guru Inovatif Melonjakkan transformasi Pendidikan Negara"

 Doa dibaca memohon kesejahteraan dan keberkatan utk guru...

Ucapan khas Ketua Pelajar...

 Ucapan Tuan Pengetua sempena Hari Guru...

 Kain rentang tandatangan pelajar pra U..

 Bacaan ikrar diketuai oleh Tuan Pengetua...

 sama-sama nyayikan lagu "Kami Guru Malaysia"...

 acara potong kek Hari Guru...

 Tuan Pengetua dan guru bersama hadiah dan cenderahati...pelajar pra U yang sediakan.


SELAMAT HARI GURU...

TERIMA KASIH BUAT GURUKU SEMASA DIRI INI BERSEKOLAH DI SEKOLAH AGAMA DINIAH KG. BONGOR, SK TOK SANGKUT PASIR MAS, SEK MEN RENDAH TIANG CHANDI, REPEK, PASIR MAS, SM TENGKU PANGLIMA RAJA LEMAL, PASIR MAS, SEKOLAH KADIR ADABI, PASIR MAS, INSTITUT ZA'BA, PASIR MAS...terima kasih atas tunjuk ajar, teguran, hukuman, nasihat sehingga kini juga bergelar GURU...alhamdulillah!


Khamis, 26 April 2012


Dibawah ini saya kongsikan kisah benar yang selama ini cuba dikelirukan dan dinafikan oleh pihak-pihak yang takutkan kebenaran al-Quran.

PENEMUAN RANGKA MANUSIA UMAT NABI HUD -
BUKTI KEBENARAN AL-QURAN
Penemuan Manusia Raksasa Kaum 'Ad, Umat Nabi Hud AS (BUKTI KEBENARAN AL QURAN)

Aktiviti eksplorasi gas wilayah selatan gurun pasir Arab baru-baru ini menemui tengkorak manusia bersaiz raksasa sangat mengejutkan. Wilayah di gurun pasir Arab selatan ini disebut "Penempatan kosong" (Empty Quarter atau Rab al-Khaliy). Fosil manusia raksasa itu ditemui oleh Pasukan The Aramco Exploration.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran bahawa DIA pernah menciptakan manusia bersaiz besar. Mereka adalah kaum 'Ad dimana Nabi Hud AS diutus di situ untuk menyeru manusia pada kebenaran. Tubuh mereka bersaiz besar, sangat tinggi dan kuat kerana itu mereka boleh memeluk sebuah pohon besar dan mencabutnya.

Kemudian, setelah Allah memberi kekuatan pada mereka dengan melebihkan mereka dari umat yang lain, mereka berbalik menjadi umat penderhaka, mendustakan serta menentang kenabian Nabi Hud AS. Sebagai hukuman, mereka kemudian diseksa oleh Allah SWT. Para Ulama Arab Saudi meyakini penemuan ini adalah kaum 'Ad dari zaman Nabi Hud tersebut.

Demi keselamatan tapak arkeologi tersebut, tentera Arab Saudi telah menjaga kawasan penemuan ini dan tak seorang pun dibenarkan memasuki lokasi kecuali para pegawai eksplorasi Aramco.

Ada sesetengah pihak yang cuba menafikan penemuan ini dengan mengatakan bahawa gambar ini adalah 'super impose'. Ini adalah cubaan penafian dari pihak yang ingin menentang kebenaran sejarah yang sebenarnya. Mereka lebih gemar dan taksub kepada sejarah yang mengatakan manusia hasil dari evolusi monyet dan beruk. Jadi apa pilihan kamu?

Penemuan Arkeologi di Kota Iram
Pada awal tahun 1990 muncul keratan akhbar dalam beberapa surat khabar yang terkemuka di dunia yang menyatakan "Kota Legenda Arabia yang Hilang Telah Ditemui", "Kota Legenda Arabia Ditemukan", "Ubar, Atlantis di Padang Pasir." Yang membuat penemuan arkeologi ini lebih menarik adalah kenyataan bahawa bandar ini juga disebut dalam Al-Quran.
Ramai orang, yang sejak dahulu beranggapan bahawa kaum 'Ad sebagai-mana diceritakan dalam Al Quran hanyalah sebuah legenda atau beranggapan bahawa lokasi mereka tidak akan pernah ditemui, tidak dapat menyembunyikan kehairanan mereka atas penemuan ini.
Penemuan bandar ini, yang hanya disebutkan dalam cerita lisan Suku Badwi, membangkitkan minat dan rasa ingin tahu yang sangat mendalam.
Nicholas Clapp, seorang arkeolog amatur yang menemui kota legenda yang disebutkan dalam Al Quran ini. Sebagai seorang Arabophile dan pembuat filem dokumentari berkualiti, Clapp telah menjumpai sebuah buku yang sangat menarik selama penelitiannya tentang sejarah Arab.
Buku ini berjudul Arabia Felix yang ditulis oleh seorang peneliti Inggeris bernama Bertram Thomas pada tahun 1932. Arabia Felix adalah wakil Rom untuk bahagian selatan semenanjung Arabia yang sekarang ini merangkumi Yaman dan sebahagian besar Oman.
Bangsa Yunani menyebut daerah ini "Eudaimon Arabia". Sarjana Arab abad pada pertengahan menyebutnya sebagai "Al-Yaman As-Sa'idah" 20.

Semua nama tersebut bermaksud "Arabia yang Beruntung ", kerana orang-orang yang hidup di daerah tersebut di masa lalu dikenali sebagai orang-orang yang paling beruntung pada zamannya. Jadi apakah yang untung itu?


Keberuntungan mereka sebahagian berkaitan dengan kawasan mereka yang strategik menjadi perantara dalam perdagangan rempah ratus antara India dengan tempat-tempat di utara semenanjung Arab.
Di samping itu, orang-orang yang berdiam di daerah ini menghasilkan dan mengedarkan "frankincense" sejenis getah wangi dari pokok langka. Kerana sangat disukai oleh masyarakat kuno, tanaman ini digunakan sebagai dupa dalam berbagai upacara keagamaan. Pada saat itu, tanaman tersebut sekurang-kurangnya sama berharganya dengan emas.

 Thomas memaparkan tentang suku-suku yang "beruntung" ini dengan panjang lebar dan menyatakan bahawa ia telah menemui jejak sebuah bandar purba yang dibina oleh salah satu dari suku-suku ini. Itulah bandar yang dikenali suku Badwi dengan sebutan "Ubar".

Pada salah satu perjalanannya ke daerah tersebut, orang-orang Badwi yang hidup di padang pasir itu menunjukkan pusat-pusat usang dan menyatakan bahawa pusat-pusat tersebut mengarah ke bandar kuno Ubar. Thomas, yang sangat berminat dengan perkara ini dan mahu mengkaji lebih dalam lagi.

Clapp, setelah mengkaji tulisan Thomas, yakin akan kewujudan bandar yang hilang tersebut. Tanpa banyak membuang masa, beliau memulakan penelitiannya. Clapp membuktikan kewujudan Ubar dengan dua cara. Pertama, ia menemukan pusat-pusat yang menurut suku Badwi benar-benar ada.
Ia meminta NASA (Badan Luar Angkasa Nasional Amerika Syarikat) untuk menyediakan foto satelit daerah tersebut. Selepas rundingan yang panjang, beliau berjaya memujuk pihak yang berkuasa untuk memotret daerah tersebut.
 Clapp meneruskan mempelajari pelbagai manuskrip dan peta kuno di perpustakan Huntington di California. Tujuannya adalah untuk menemukan peta dari daerah tesebut. Setelah melalui penelitian singkat, ia menemukannya.
Yang ditemuinya adalah sebuah peta yang dilukis oleh Ptolomeus, ahli geografi Yunani-Mesir pada tahun 200 M. Pada peta ini ditunjukkan lokasi sebuah bandar tua yang ditemui di daerah tersebut dan jalan-jalan yang menuju ke kota tersebut.
Sementara itu, beliau menerima khabar bahawa NASA telah melakukan pemotretan. Dalam foto-foto tersebut, beberapa pusat kafilah dapat di lihat, suatu hal yang sulit untuk dicari dengan mata kasar, tetapi boleh dilihat sebagai satu kesatuan dari luar angkasa.
Dengan membandingkan foto-foto ini dengan peta tua yang di tangannya, akhirnya Clapp menjumpai kesimpulan yang ia cari: pusat-pusat dalam peta tua sesuai dengan pusat-pusat dalam gambar yang diambil dengan satelit. Tujuan akhir dari jejak-jejak ini adalah sebuah tapak yang luas yang ditengarai dahulunya merupakan sebuah bandar.

Akhirnya, lokasi bandar legenda yang menjadi subjek cerita-cerita lisan suku Badwi dijumpai. Tidak berapa lama kemudian, penggalian bermula dan peninggalan dari sebuah bandar mulai tampak di bawah gurun pasir.
Demikianlah, bandar yang hilang ini disebut sebagai "Ubar, Atlantis di Padang Pasir". Lalu, apakah yang membuktikan bandar ini sebagai bandar kaum 'Ad yang disebutkan dalam Al Quran?
Begitu runtuhan-runtuhan mula digali, diketahui bahawa bandar yang hancur ini adalah milik kaum 'Ad dan berupa tiang-tiang Iram yang disebutkan dalam Al Quran, kerana di antara pelbagai struktur yang di-gali terdapat menara-menara yang secara khusus disebutkan dalam Al-Quran .
Dr. Zarins, seorang ahli pasukan kajian yang memimpin penggalian mengatakan bahawa kerana menara-menara itu disebut sebagai bentuk khas bandar 'Ubar, dan kerana Iram disebut mempunyai menara-menara atau tiang-tiang, maka itulah bukti terkuat setakat ini, bahawa tapak yang mereka gali adalah Iram, bandar kaum 'Ad yang disebutkan dalam Al Quran:
Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Ad, (iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (QS. Al-Fajr, 89: 6-8)

Sumber bahan :
gelombangkick.blogspot.com

Rabu, 28 Mac 2012

ASAL USUL KALENDAR

Artikel tentang asal usul kalender ini saya salin dari akhbar Berita Harian yang ditulis oleh Rohaniza Idris.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

SETIAP tahun, apabila Disember ditinggalkan, muncul Januari yang menandakan bermulanya tahun baru. Semua ini sudah ditempuhi manusia sejak beratus-ratus tahun lalu iaitu apabila kalendar pertama wujud.
Namun, masih ramai yang tidak tahu sejarah dan perkembangan kalendar. Ini mungkin kerana topik ini bukanlah sesuatu yang penting untuk diambil tahu, lebih-lebih lagi penetapan tarikh adalah perkara rutin dalam kehidupan harian.
Namun, sebelum memahami mengenai kalendar atau takwim ini, definisi kalendar itu perlu diketahui. Secara umumnya, kalendar atau takwim adalah satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan bulan.

Tarikh sesuatu hari itu biasanya ditentukan berpandukan kepada objek astronomi seperti matahari atau bulan. Takwim juga adalah satu objek nyata yang menjelaskan sistem itu.

Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta Kalendar Lunisolar (bulan dan matahari). Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata, iaitu mengikut perubahan musim. Contohnya, Kalendar Gregorian dan Kalendar Julian. Kalendar Lunar atau Qamari berpandukan bulan semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contohnya ialah Takwim Hijrah manakala Kalendar Lunisolar pula mengikut kedua-dua bulan dan matahari - contohnya Kalendar Cina.

Dilaporkan, kalendar pertama yang wujud di dunia ini adalah kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi oleh masyarakat Mesir purba. Orang-orang Mesir purba menggunakan kalendar dengan 12 bulan 30 hari, untuk jumlah 360 hari untuk setiap tahun dicampur lima hari tambahan pada akhir tahun. Manakala minggu bagi setiap bulan adalah tiga minggu sepuluh hari.

Penentuan kalendar Mesir ini berdasarkan kiraan tahun solar iaitu 3,651/4 hari, namun tidak mempunyai hari lompat setiap empat tahun untuk mengambil kira hari pecahan (cara yang kita lakukan sekarang dalam kalendar Gregorian), mereka membiarkan hari satu perempat terkumpul.

Bermaksud, ada tahun yang mempunyai hari yang lebih berbanding tahun yang lain mengikut pilihan mereka. Mereka tidak meletakkan Hari Lompat pada bulan tertentu, sebaliknya dipilih dalam mana-mana bulan yang disukai dengan syarat setiap empat tahun sekali.

Dalam sistem kalendar kini, hampir semua negara mengikut kaedah sama iaitu merujuk kepada kalendar Gregorian yang diubah berdasarkan kalendar Julian yang mana 97 tahun daripada setiap 400 tahun menyelitkan 29 hari pada Februari.

Jika ditanya kaedah atau kalendar mana paling sempurna, setiap satu mempunyai perbezaan mengikut saat, minit, jam atau hari. Malah dikatakan Gregorian yang digunakan secara meluas memerlukan perubahan dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.

Kalendar Gregorian

TAHUN Gregorian bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember. Tahun Gregorian ada 365 hari pada tahun biasa dan 366 hari dalam tahun lompat yang memberi panjang purata 365,2425 hari.

Ini adalah sangat dekat dengan purata 76 tahun kalendar Islam (berdasarkan masa purata antara ekuinoks musim bunga berturut-turut yang kini 365,2424 hari dan meningkat sedikit).

Kalendar Gregorian ini dicadangkan oleh doktor Aloysius Lilius, dari Napoli, Itali dan kemudian mula digunakan Pope Gregory XIII pada 24 Februari 1582. Kalendar ini dicipta kerana Kalendar Julian dinilai kurang tepat, berikutan permulaan musim bunga lebih awal bukan lagi 21 Mac seperti yang dipraktikkan.

Pada awalnya, tidak semua negara mahu menggunakan kalendar ini. Britain mula menerima pakai kalendar ini pada 25 Mac 1752 manakala Russia menggunakannya pada 1918.
Kalendar Islam

KALENDAR Islam atau dikenali sebagai takwim Hijrah atau Takwim Islam pula adalah Kalendar Lunar digunakan di kebanyakan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam.

Kalendar ini berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap.

Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari itu dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah itu haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya di hadapan pemimpin negara.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Kab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW. Peristiwa ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab adalah titik tolak perubahan takwim hijrah yang mana Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan itu, pendapat 'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Kalendar Cina

KALENDAR Cina pula mengikut kalendar lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar.

Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu dan Perayaan Kuih Bulan.

Sesetengah masyarakat Cina di seluruh dunia percaya dalam bidang astrologi. Mereka menggunakan kalendar ini untuk memilih tarikh sesuai melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru.

Oleh kerana setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan. Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai ‘kalendar pertanian’ manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai ‘kalendar umum’ atau ‘kalendar Barat’.

Kalendar Julian

KALENDAR Julian diperkenalkan pada tahun 46 SM oleh Julius Caesar dan mula digunakan pada tahun 45 SM. Kalendar ini dipilih selepas perundingan dengan ahli astronomi Sosigenes dari Iskandariah. Ia direka bentuk hampir menyamai tahun tropika yang digunakan sejak zaman Hipparchus lagi.

Tahun Julian merangkumi 365 hari yang dibahagikan kepada 12 bulan dengan satu hari lompat ditambah pada bulan Februari setiap empat tahun. Oleh itu, tahun Julian mempunyai 365.25 hari setiap tahun pada puratanya.

Kalendar ini masih digunakan dalam abad ke-20 di sesetengah negara dan masih terus digunakan oleh kebanyakan gereja Ortodoks hingga hari ini. Kalendar ini digantikan dengan kalendar Gregorian kerana terlalu banyak tarikh lompat yang menyebabkan kekeliruan.


INFO
 
  • Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun ia tidak lagi tepat seperti dialami sekarang. Contohnya, Ramadan yang berasal daripada al-Ramada' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.

    Muharam pula dinamakan demikian kerana salah satu bulan yang diharamkan berperang. Manakala Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam.

    Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama itu diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan. Sehubungan itu, ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.

    Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang selepas duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (mengangkat).

    Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).
  • Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun, tetapi jarak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat. Sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari, 6 jam, 9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya tahun kabisah. Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.

Kalendar sudah pupus

  • Kalendar Aztec
  • Takwim Maya
  • Takwim Positivist
  • Kalendar Gregorian pertama kali digunakan di Itali, Poland, Portugal dan Sepanyol pada 1582.
  • Kalendar Gregorian mempunyai pusingan 400 tahun dan menariknya 29 Februari 2008 jatuh pada Jumaat, hari sama pada 29 Februari 2408.
  • Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dulu. Namun, mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa itu. Umpamanya, tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il pada 1855 SM. Manakala tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.
  • Selepas wujudnya negara Islam, tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu, kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin. Akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sumber Asal : Berita Harian
Oleh: Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2012/01/08


    Isnin, 19 Mac 2012

    Ikut Pesan Guru

    Setiap kali keputusan peperiksaan STPM dikeluarkan, pasti berdetik rasa bimbang dan cemas menyelubungi hati setiap pelajar. Sebagai guru, saya juga merasakan sedemikian. Bimbang subjek yang diajar tidak mencapai sasaran yang dikehendaki. Apalagi kelompok pelajar yang diajar separuh bilangannya boleh dikatakan dibawah paras sebenar pelajar praU untuk subjek BM2. Setiap kali ujian/peperiksaan di sekolah, jawapan mereka cuma asal-asal saja, malah ada kalangan mereka yang membuat karangan setaraf PMR saja. Kaedah dan teknik telah didedahkan. Punca lemahnya karangan juga telah diterangkan, malah cara untuk mereka meningkatkan kualiti karangan juga turut diterangkan, namun, tetap sama hasilnya. Rupanya bukan untuk subjek saya sahaja yang begitu, guru/pensyarah yang lain juga bercerita perkara yang sama dan melibatkan pelajar yang hampir sama. Aduh! 

    Selasa, 13 Mac 2012

    Isnin, 12 Mac 2012

    Modul Latihan semasa cuti

    Alih bentuk bahasa petikan drama di bawah kepada bentuk prosa bahasa Melayu moden.

    Awang Samat      : Saya nak tahu, bukankah kau bersungguh-sungguh ingin mencari barang itu?

    Iskandar              : Nanti dululah, ada benda lain yang perlu dicari dahulu.

    Awang Samat     : Apa bendanya tu, Iskandar?

    Iskandar              : Sebenarnya Tok Ayah telah memberi gambaran tentang barang itu, tetapi ada   
                                  syarat yang perlu kita patuhi.

    Awang Samat     : Apa syaratnya?

    Iskandar              : Kita perlu mendapatkan tujuh jenis bunga yang mekar dalam hutan.

    Awang Samat     : Tujuh jenis bunga? Dalam hutan. Hutan mana?

    Iskandar              : Kata Tok Ayah, hutan sebelah matahari terbit.



    Nota: Jawapan modul ini hendaklah diserahkan kepada pensyarah masing-masing selepas cuti ini.