Rabu, 2 November 2011

TIP UNTUK MENJAWAB SOALAN BAHASA MELAYU KERTAS 2 STPM

Saya percaya minggu-minggu terakhir sebelum menjelangnya hari sebenar peperiksaan bertulis STPM, pelbagai cara dan usaha telah dan akan dibuat oleh setiap calon bagi mempastikan mereka boleh menjawab mengikut format dan kehendak soalan sebenar. Di sini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan dengan perkara penting yang harus setiap pelajar ketahui dan kuasai supaya jawapan yang diberikan mampu menghasilkan markah yang semaksima mungkin.

Mungkin sebahagian pelajar sudah mengetahuinya, namun saya percaya maklumat ini tetap akan membantu bagi pelajar-pelajar yang gemar 'bertindak disaat-saat akhir'.

Anda perlu ingat dan sedar bahawa anda menjawab  Bahasa Melayu-kertas 2 iaitu keseluruhannya melibatkan penulisan. Penulisan dalam bahasa Melayu sudah pastinya tidak sama dengan menjawab kertas subjek yang lain. Maksud saya ialah menjawab soalan Bahasa Melayu kertas 2 ini pelbagai aspek yang dinilai. Penilaian boleh terjejas sekiranya TULISAN anda tidak boleh dibaca. Bukan bermakna tulisan mesti cantik, tetapi tulisan mestilah boleh dibaca (menurut kata seorang pemeriksa, maklumlah kebanyakan pemeriksa dah tua-tua). Sekiranya tulisan sukar dibaca akan MENYUKARKAN IDEA DIFAHAMI/DIBACA oleh pemeriksa. Oleh itu, perlulah setiap calon itu mempastikan tulisan bagi jawapannya boleh dibaca.

MENJAWAB SOALAN BAHAGIAN A (Karangan)

Terlebih dahulu jangan abaikan membaca dan memahami ARAHAN menjawab soalan. PASTIKAN berapa jumlah patah perkataan yang dikehendaki. Lazimnya 650-700 patah perkataan. Mutakhir ini saya difahamkan sekiranya patah perkataan yang dikehendaki sebanyak 700, maka perkataan terakhir merupakan perkataan yang ke 700(ikut arahan). 
Langkah seterusnya, baca dan fahami setiap soalan (4 soalan) yang dikemukakan. Fahami KEHENDAK soalan . Pilih soalan yang anda kuasai aspek beikut:-
                                                    - Tajuk/isunya
                                                    - KEHENDAK  soalannya
                                                    - Jika berformat, anda TAHU tepat formatnya
                                                    - Jenis Pendahuluan
                                                    - Dalam fikiran anda TERSEDIA 5-6 ISI/fakta
                                                    - Boleh membuat HURAIAN- mengapa/bagaimana/Bila
                                                    - Boleh mengemukakan CONTOH -menepati fakta (nyatakan sumber
                                                      jika perlu)

Andai kata kriteria di atas anda miliki, jangan ragu-ragu kerana anda BOLEH.

Untuk menghasilkan karangan yang baik dan berkesan malah relevan, secara formatnya anda tentunya sudah didedahkan. Apa yang penting dalam membina PENDAHULUAN aspek pemilihan cara penyampaian juga harus diberi penekanan. Anda boleh memilih sama ada memulakan pendahuluan dengan cara mengemukakan:

- Definisi/Konsep : sekiranya anda merujuk kamus, maka defnisi mestilah menepati seperti dalam kamu yang anda rujuk itu.

- Petikan /Ucapan tokoh : Nama tokoh/gelarannya perlu betul. Di mana ucapan itu dibuat juga perlu diambil kira

- Fakta : Biasanya dari sumber jurnal/buku/dll

- Situasi : Gambaran peristiwa/berita

- Peribahasa /Pantun: Mesti menepati isu dalam soalan

- Mengaitkan langsung dengan pernyataan/kehendak soalan.

Pendahuluan yang BAIK dengan mengemukakan idea yang TEPAT dan JELAS boleh menyumbangkan 3 markah penuh untuk pendahuluan. Tetapi, mungkin ini sukar diperolehi tetapi tidak mustahil sekiranya anda mengikut caranya.

Dalam menghasilkan perenggan ISI, anda juga perlu menguasai dan memahami beberapa aspek yang telah dinyatakan diatas. Setiap karangan yang baik harus menonjolkan 5-6 perenggan ISI yang setiap perenggannya HARUS mengandungi perkara berikut:

- Fakta/isi  : APA (isu semasa-mengikut kehendak soalan: faktor/langkah,dll)

- Huraian : Mengapa/Bagaimana/Bila

- Contoh/Statistik : Apa(tepat dengan fakta/isi utama) , sebaiknya berikan sumber data diperolehi

- Kesimpulan kecil (akhir perenggan) : Penegasan isi/fakta (digalakkan juga dalam simpulan bahasa, pepatah, bidalan dll), gunakan penanda wacana Oleh itu,.... 
(JANGAN guna perkataan Kesimpulannya....)

Perenggan ISI yang BAIK boleh menyumbangkan 3 markah penuh setiap isi sekiranya fakta/isi tersebut tepat, huraian jelas dengan memfokuskan kepada topik/isi utama.

Perenggan KESIMPULAN juga tidak boleh diabaikan atau dibuat asal siap sahaja. Hal ini kerana 3 markah juga diperuntukkan untuk perenggan penutup yang BAIK dan MEYAKINKAN. Pengolahan perenggan ini sebaiknya dimulakan dengan perkataan Kesimpulannya,...diikuti dengan penegasan isi/fakta yang dikemukakan. Sertakan cadangan (jika perlu) yang bersesuaian.

CATATAN:
Untuk perenggan kesimpulan, ELAKKAN anda memulakan dengan menggunakan perkataan KONKLUSINYA/NATIJAHNYA.

Peribahasa yang salah akan ditolah markah bahasa.

Khamis, 29 September 2011

PENUTUP KARANGAN

Untuk membina sebuah karangan yang lengkap sudah semestinya mempunyai penutup karangan yang baik dan berkesan malah menepati fokus karangan. Penutup karangan boleh disampaikan dalam dua cara sama ada dengan menyimpulkan atau merumuskan isi-is yang telah dihuraikan sebelumnya dan satu lagi membuat penutup dengan cara penegasan pendirian berkaitan fokus yang dibincangkan.

Sebagai perkongsian cuba baca dan analisis contoh penutup karangan di bawah ini:

Contoh penutup secara kesimpulan/rumusan:

Topik : Langkah-langkah kerajaan membendung kemasukan pendatang tanpa izin (PATI)

Jelaslah bahawa pihak kerajaan tidak berdiam diri dalam mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI). Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung masalah tersebut dan langkah-langkah itu bukan sahaja melibatkan agensi kerajaan, malah juga rakyat Malaysia seluruhnya. Andainya semua langkah tersebut terus dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, kita yakin bahawa masalah PATI akan dapat diselesaikan segera. Dalam hal ini, masalah yang amat kritikal dan perlu diberi perhatian dan tindakan ialah mewujudkan kesedaran, keperihatinan dan kesepakatan semua agensi berkaitan bersama masyarakat dalam bertindak.

Contoh penutup secara  penegasan pendirian:

Topik: Kepentingan Pengajaran dan Pembelajaran  Sanis dan Matematik dalam bahasa Inggeris 

Kesimpulannya, dapatlah ditegaskan bahawa, dalam  usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah melalui pengajaran dan pembelajaran subjek sains dan matematik bukanlah satu usaha yang sia-sia. Penguasaan dalam kalangan pelajar luar bandar telah dibuktikan semakin meningkat. Namun, jika dilihat dari segi kemantapan penggunaannya dalam kalangan orang ramai, situasinya masih boleh diperbaiki dan dipertingkatkan lagi. Kepelbagaian kaedah perlu dibina untuk memastikan kita dapat mempertingkatkan penguasaan seluruh masyarakat terhadap bahasa Inggeris ini.




Isnin, 12 September 2011

KELDAI DADAH

Siapa yang dikatakan Keldai Dadah?


Dalam Wikipedia menjelaskan bahawa Keldai Dadah merujuk kepada seseorang yang secara rela atau terpedaya untuk menjadi kurier, membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Taktik ini dikatakan boleh mengurangkan risiko pengedar atau penyeludup dadah ditangkap oleh pihak berkuasa di sesebuah negara. Dadah tersebut akan disembunyikan dalam kenderaan, bagasi atau pakaian, diikat pada badan, dengan menelannya, malah kaedah terkini dadah dimasukkan dalam besi, bahagian-bahagian kenderaan yang dibawa dari luar negara.

Merujuk kepada beberapa kes yang berlaku menunjukkan bahawa mereka yang menjadi keldai Dadah ini ada yang menyedari atau tahu bahawa mereka adalah pembawa barangan larangan tersebut, namun banyak kes yang melibatkan rakyat negara ini seolah-olah mereka tertipu dan tidak tahu menahu bahawa mereka sebenarnya menjadi Keldai Dadah kepada sindiket dadah sehinggalah mereka ditangkap di pintu masuk sesebuah negarakerana dalam bagasi mereka terdapat sejumlah dadah.

Seperti yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian, dadah yang dibawa pula bukan semata-mata serbuk putih yang biasa kita lihat di kaca televisyen mahupun di dalam akhbar atau filem tetapi ditukar kepada pelbagai bentuk yang mungkin tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun termasuk mangsa.

Berdasarkan pengalaman yang diceritakan sesama banduan di Penjara Santa Monica, mereka membawa dadah dalam pelbagai bentuk seperti kertas A4, syampu, sabun, baju yang direndam dengan cecair dadah, benang, selimut, dadah yang diletakkan di dalam tali beg galas malah air di dalam botol minuman mineral!

Punca Terpedaya atau rela?

Penyeludupan dan pengedaran dadah sebegini memang dirancang oleh sindiket dadah antarabangsa. Mengikut laporan dadah ini biasanya datang dari negara-negara seperti Argentina, Sepanyol, Colombia, dan beberapa negara Asia Selatan. Biasanya kos harga dadah dari negara tersebut lebih murah. Melalui sindiket-sindiket antarabangsa yang bergiat aktif di seluruh pelusuk dunia dan mereka akan membina jaringan dan rangkaian untuk mmebawa masuk ke negara-negara ketiga menggunakan khidmat Keldai Dadah ini.
Berita Harian pada 3 Sept 2011, melaporkan; Kebanyakan mangsa mendakwa hanya menyedari ‘kerja’ yang dijanjikan dengan upah lumayan itu sebenarnya membawa dadah ke beberapa negara selepas tidak berdaya untuk menolak akibat diugut bunuh, tambahan pula mereka sendirian jauh beribu-ribu kilometer di negara orang. Tidak kurang juga yang mengakui tarikan wang dan peluang melancong ke luar negara seperti Amerika Latin, Asia Barat dan Eropah menjadi ‘umpan’ paling mudah, apatah lagi tiket penerbangan termasuk hotel ditaja sepenuhnya menyebabkan ramai tidak berfikir panjang sebelum menerimanya.

Bukit Aman mendedahkan faktor bahasa dan mudah untuk mendapatkan kepercayaan antara punca sindiket antarabangsa mengubah taktik kotor mereka dengan menggunakan ejen tempatan bagi merekrut rakyat negara ini sebagai keldai dadah.

Ini berikutan modus operandi mereka sebelum ini, yang menggunakan warga Afrika dan Asia Barat bagi memperdayakan rakyat tempatan terbongkar, sekali gus menyebabkan sindiket terbabit terdesak mengubah taktik. Sindiket terbabit turut dikesan menggunakan Facebook dan pelbagai laman sosial popular lain bagi tujuan itu, dengan menjanjikan pelbagai imbuhan lumayan, termasuk percutian mewah ke luar negara sebagai helah memperdayakan mangsa. Melalui Facebook, ejen terbabit mula mengenali dan menjalinkan hubungan rapat dengan mangsa, seterusnya menabur pelbagai janji manis. Bila sudah mendapat kepercayaan, mangsa akan diperalatkan sebagai keldai dadah ke negara ketiga, malah ada di antara mangsa tidak mengetahui langsung mereka membawa dadah sehinggalah ditahan. -Sumber: Blog 1 Klik
Dalam tahun 2010 seramai 35 orang rakyat negara ini berbanding seramai 54 orang dalam tahun 2009  ditahan diseluruh dunia kerana kesalahan membawa masuk dadah ke negera berkenaan. Sebahagian besar mereka mengakui mereka sebenarnya diperdayakan oleh sindiket antarabangsa. Kebanyakan mereka terdiri daripada kalangan gadis dan wanita.

Walau bagaimanapun sejak 20 tahun yang lalu seramai 365 rakyat Malaysia yang terdiri kalangan wanita ditahan di luar negara kerana terlibat dengan Keldai Dadah.

Mengapa terjebak?
  • Keperluan kewangan yang terdesak
  • Tawaran kewangan yang lumayan
  • Hadiah melancong ke luar negara
  • Ditipu/terpedaya dengan 'kekasih'/teman
 
 
Antara rekod kes seperti yang dilaporkan


1. Blog Falkner sphere :Rabu, 10 Februari 2010 , Posted by perkasan at 11:10 PM
Bersalin di jel Australia
KUALA LUMPUR: Salah seorang gadis Melayu yang sarat mengandung dan menjadi mangsa 'keldai dadah' oleh sindiket dadah antarabangsa akhirnya melahirkan bayi lelaki di dalam sel penjara baru-baru ini selepas dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Sydney, Australia terhadap jenayah dilakukan.
Difahamkan, suspek yang sudah melahirkan bayi dengan selamat itu bagaimanapun tidak dibenarkan menjaga bayi berkenaan yang kini diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Masyarakat negara berkenaan untuk dipelihara.

Agak mengejutkan apabila suspek sebelum ini ditahan pihak berkuasa Australia selepas didapati menelan 25 ketulan plastik dadah heroin di dalam perutnya tanpa langsung memikirkan keselamatan dan nyawa bayinya yang terancam sekiranya bungkusan kecil heroin terbabit pecah atau bocor di dalam perut.Difahamkan, suspek yang dikenali sebagai Nirmala, 26, ditahan oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, Australia pada Jun tahun lalu selepas mengambil penerbangan terus dari Phuket, Thailand.Sumber polis berkata, suspek bagaimanapun ditahan pihak kastam negara berkenaan selepas imbasan X-Ray mendapati suspek cuba menyeludup dadah jenis heroin seberat 105 gram di dalam 25 bungkusan yang ditelannya.

Melalui maklumat dikumpulkan, suspek wanita terbabit mengaku bahawa dia bersetuju untuk membantu rakannya menyeludup dadah heroin berkenaan yang disangka pil penahan sakit."Rakan mangsa berjaya memperdaya mangsa kononnya pil terbabit diseludup masuk ke Australia bagi mengelakkan ia dikenakan bayaran cukai tinggi.

2. Utusan-
10/05/2011 

Dua pelajar diselamat dari mangsa keldai dadah
Oleh AZIAN ABD. AZIZ
SHAH ALAM 10 Mei – Polis berjaya menyelamatkan dua pelajar wanita tempatan yang dikurung dan cuba dipaksa menjadi keldai dadah dalam serbuan di sebuah apartmen di Puchong, Petaling Jaya, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan pukul 2 pagi itu, dua warga Nigeria yang memperdaya dan memaksa mangsa serta seorang wanita tempatan turut diberkas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, kedua-dua mangsa dipaksa menelan enam kapsul dadah heroin gred tinggi dan dijanjikan percutian ke China oleh kedua-dua suspek.

3.Berita Harian-3  sept 2011

Lina, 36, yang ditahan di Penjara Santa Monica kerana membawa 2.83 kilogram kokain menceritakan diminta oleh teman lelakinya yang berasal dari Nigeria yang dikenali sejak lapan tahun lalu untuk mengambil ‘sesuatu’ di Peru dengan upah AS$8,000. Dia diterbangkan ke Istanbul dan menunggu lapan hari sebelum ke Lima.

Selama di Lima, dia dibawa oleh seorang lelaki tempatan ke sebuah restoran dan tiba-tiba diminta untuk berjalan seperti model dengan jarak 50 meter di dalam restoran berkenaan.

Tidak dibenarkan banyak bertanya, Lina hanya menurut arahan. Tanpa disedarinya, ada ‘mata’ mengukur tubuhnya dari jauh.

Keesokan harinya, dua lelaki Peru datang membawa korset (bengkung) yang padan dengan saiz badannya. Korset yang dijahit khas itu sudah berisi dua paket dadah di kiri dan kanan dadanya, manakala enam paket lagi di bahagian pinggang. Dia tahu itu dadah tetapi mendakwa terpaksa membawanya demi memenuhi janji dengan teman lelakinya sebelum ini.

Lina berkata, kakinya menggeletar sebaik melihat pemeriksaan ketat polis ke atas semua penumpang sehingga timbul rasa untuk membuang baju yang dipakainya tetapi apabila mengingatkan ugutan maut sindiket, dia terpaksa menyudahkan tugasan itu. Malah, ejen sindiket yang menghubunginya meyakinkannya tidak akan ditangkap kerana mereka sudah merasuah semua polis di situ.

Sebaik melepasi dua polis dan pintu imbasan, Lina lega kerana tidak ditahan. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila tiba-tiba paket dadah yang di bahagian dadanya tersembul keluar di depan seorang polis wanita menyebabkan dia ditahan dan dikenakan hukuman penjara enam tahun lapan bulan di Penjara Wanita Santa Monica.

4. Berita TV3-27 Mei 2011


Gadis berusia 20 an - itu antara 10 rakyat tempatan yang ditahan di Sheng Zheng China - sejak Mac lalu.Kerana disyaki menyeludup hampir sekilogram dadah.Dia yang juga kakitangan syarikat insuran . mendakwa mangsa kepada seorang lelaki warga Nigeria yang hanya dikenali menerusi facebook..

Willy nama si pemuda menawarkan upah lumayan untuk ke China. Kerjanya mudah sambil bercuti mangsa diarah menyerahkan sebuah beg kepada seseorang di wilayah terbabit. Gadis itu juga mendakwa - tiket penerbangan diuruskan sebuah agensi pelancongan di ibu negara.

Yang pelik - dia tidak dibenarkan membawa beg sendiri. Tetapi beg diuruskan agensi pelancongan berkenaan dan didaftarkan atas namanya..

Namun setiba - di Lapangan Terbang Antarabangsa Ghuang Zhou - dia dicekup polis..
Kerana beg terbabit - sarat dengan 750 gram syabu.. Sudahnya gadis itu kini meringkuk di Pusat Tahanan Shang Mei Lin.



5. Wikipedia, Media bebas


  1. Rasundiri a/p Ganapathi ditahan di Itali.
  2. Wanita keturunan India berusia 20-an ditahan di Penjara Soto Del Real, Madrid, kerana sindiket dadah antarabangsa memaksanya menelan 100 kapsul kokain ke Sepanyol.
  3. Wanita 24 tahun dari Klang, Selangor yang ditahan ditahan di Penjara Soto Del Real, Madrid sejak 21 Mac 2008 kerana cuba menyeludup kokain dari Brazil.
  4. Pada 26 Ogos 2009, seorang wanita Filipina, bekerja di China sebagai orang gaji, terbang dari Bangkok dan transit di KLIA sebelum ke Johannesburg (Afrika Selatan), kemudian ke Lima, Peru untuk mengambil bekalan dadah sebelum tinggal di Buenos Aires (Argentina) selama seminggu. Wanita itu ditahan di Hentian Puduraya. Bagasinya mempunyai dadah 5 kg , yang telah dicairkan dan dikeringkan pada baju-baju. Dia dibayar upah AS$3,000 oleh sindiket warga Afrika.
  5. Pada 7 September 2009, Wanita Thailand ditahan di Hentian Puduraya kerana membawa 2 kg kokain dalam dua bingkai gambar. Ketua Bahagian Narkotik, Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, ACP Kang Chez Chiang menyatakan wanita itu ditahan ketika menaiki bas menuju ke Haadyai, Thailand.
  6. Pada 24 Ogos 2009, Timbalan Menteri Luar, A.Kohilan Pillay mengesahkan 4 rakyat Malaysia di tahan di penjara Peru kerana menjadi keldai dadah

Ahad, 7 Ogos 2011

BULAN KEMERDEKAAN

Hayatilah Kisah Kemerdekaan Negara Kita...


Wahai Anak Didik Bangsa

Jangan direnung bulan yang tinggi
Jangan digapai bintang di langit
Jangan di kejar awan berlalu
Jangan di cari angin berhembus

Tak semudah yang kita sangka
Semuanya tinggi
Tak nampak dek mata

Jangan percaya akan janji mereka
Walau apa yang dikata
Cukuplah kita apa yang ada
Bertambah jika biarlah berpada

Jangan luka yang kita pinta
Sampai segala hilang percaya
Dek lara kitapun alpa
Berarak kita minta segala
Maruah bangsa kita perkuda
Kerna janji entah apa-apa

Bagusnya kita kekal merdeka...


Sebuah coretan selokarasa Cikgubung buat anak didik bangsa....

Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara Kita.

Selasa, 2 Ogos 2011

Internet dan Kepentingannya

Corak kehidupan (sosial) hari ini amat dipengaruhi oleh penjanaan kemajuan dalam teknologi ICT. Seluruh dunia berlumba-lumba dalam dunia siber. Urusan kehidupan seharian seperti membeli-belah, perniagaan, pendidikan, dan kehidupan sosial lainnya menggunakan satu sistem yang dikenali dengan sebuah jaringan rangkaian yang menggunakan komputer dan disambungkan dengan berbilion komputer diseluruh pelusuk dunia. Internet menggunakan satu rangakaian capaian luas (WAN) yang mana segala data dan maklumat dihantar melalui aplikasi satu sistem protokol yang dikenali dengan singkatan TCP/IP. Dengan menggunakan apa yang kita kenali dengan gelombang mikro, fiber optik dan sebagainya dan dipancar melalui satelit bagi penghantaran segala data dan pelbagai bentuk dan rupa maklumat kepada pengguna di seluruh dunia. Maknanya apabila kita telah disambungkan melalui internet secara mayanya kita telah dapat berhubung dengan jutaan komputer yang lain dalam satu masa yang sama.

Dalam Buletin ICT terbitan Jun 2003, telah menyenaraikan sebelas kepentingan dan kemudahan internet kepada kita, antaranya:

  1. Perkhidmatan komunikasi elektronik: Secara mudah dan pantas untuk menggunakan mel-elektronik (e-mail) sama ada untuk mengirim atau menerima mesej daripada seluruh dunia. Melalui hotmail dan yahoo kita boleh menggunakan email secara percuma,
  2. Perbankan elektronik: Internet banking kebelakangan ini sangat popular digunakan. Pengguna boleh membuat transaksi, membuat pembayaran bil, semakan akaun dan sebagainya. Kita tidak perlu lagi berbaris atau duduk menunggu giliran utuk urusan tersebut. Pelanggan hanya perlu melayari laman web bank berkenaan dan mengikuti langkah-langkah yang diminta.
  3. Peluang pendidikan global: Pelajar dan murid-murid serta guru boleh mendapatkan akses bahan dan sumber P&P dengan hanya melayari portal pendidikan yang disediakan. Di samping itu sumber untuk kajian dan tugasan juga boleh diperolehi melalui perpustakaan elektronik. Pengajian secara online dan jarak jauh juga boleh dijalankan dengan mana-mana universiti dalam dan luar negara.
  4. Perniagaan dan pelaburan/menanam modal
Kepentingan lain internet ialah:

  • Penyebaran maklumat secara meluas dan dinamik
  • Memberi perkhidmatan aplikasi capaian seperti google, yahoo dan Alta Vista
  • Pemindahan fail dengan mudah dan laju
     

Isnin, 1 Ogos 2011

KEBAIKAN DASAR 1M1S


Aspek kebaikan Dasar 1M1S kepada para pelajar (diubahsuai merujuk objektif Dasar 1M1S):

  1. Kecergasan jasmani dan aktif aktiviti fizikal
  2. Pembentukan jati diri, disiplin, dan sahsiah
  3. Memupuk nilai-nilai positif kalangan pelajar/murid
  4. Pemupukan nilai perpaduan
  5. Meningkatkan budaya sukan bersukan
  6. Kesinambungan dan keseimbangan keperluan akademik dengan keperluan fizikal
  7. Landasan ke arah kecemerlangan sukan

ALIH BENTUK TEKS DIALOG

Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini ke dalam bentuk prosa biasa.

Sahak :              Kalau Datuk Alim jadi wakil rakyat, ada canlah saya naik gaji.

Datuk Alim :    Huh!..kerja kau tak ada lain, belum apa-apa gaji yang kau kira! Kalau aku jadi wakil  rakyat, gaji kau tak akan naik.

Sahak :              (Sahak tersipu) Tak kan nak makan seorang, Datuk?

Datuk Alim:      Gaji kau akan jadi dua! Satu imbuhan sebagai pemandu aku, dan satu lagi gaji drebar    wakil rakyat.

Sahak :              kalau macam tu kira jadi, Datuk boleh  goyang kaki, pasti menang! Serahkan                    pada   saya.

Datuk Alim :     Macam mana?

Sahak :              Macam Datuk suruh saya buat untuk menangkan Yang Berhormat Haji Karim dulu, nak jatuhkannya lagi senang!

 Datuk Alim hanya menepuk dan mencengkam bahu Sahak lalu menghala langkah ke keretanya.


Nota:
Teks di atas telah diubahsuai daripada teks cerpen/kreatif.
Anda boleh cuba menjawab latihan tambahan dan emailkan jawapan anda kepada: scheothman68@gmail.com