Selasa, 17 Mei 2011

MENGALIH BAHASA PROSA KLASIK - PANDUANNYA

Tidak semua pelajar PraU mempunyai pengetahuan sedia ada apabila berbincang tentang bahasa Melayu klasik. Ramai antara mereka tidak memiliki asas pengetahuan dalam bidang sastera, terutama pelajar aliran sains dan yang tidak mengambil subjek kesusasteraan semasa di tingkatan 5. Kecuali mereka minat dan pernah membaca teks-teks seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan lain-lain. Ini akan membantu asas pemahaman cerita dalam teks prosa klasik. Untuk itu, di sini saya cuba berkongsi maklumat berkaitan mengalih bahasa prosa klasik berdasarkan pengalaman, bacaan dan rujukan buku-buku yang berkenaan. Sekiranya kurang memahaminya rujuklah pensyarah/guru pembimbing anda.

Untuk motivasi anda, teks prosa klasik antara bentuk alih bahasa yang menjadi pilihan dikeluarkan dalam soalan STPM.
  
BACA DAN INGAT PANDUAN INI

  • Teks atau petikan yang diberikan hendaklah dibaca dan difahami secara teliti
  • Fahami maksud kandungan teks tersebut dengan tepat dan betul kerana teks klasik disampaikan dalam ayat pasif
  • Ayat pasif tersebut hendaklah ditukar kepada bentuk ayat aktif
  • Lazimnya terdapat watak-watak dalam teks tersebut. Kenal pasti watak yang terlibat dengan baik dan tepat supaya tidak bertukar. Sebaiknya catat disebelah teks untuk membantu ingatan kita
  • Dalam teks klasik anda akan temui diawal ayat kata-kata seperti; hatta, arakian, syahadan, kalakian dan seumpamanya lagi. kata-kata ini PERLU digugurkan atau disisihkan kerana tidak digunakan dalam prosa moden (bahasa Melayu Moden)
  • Akan tetapi kosa kata bahasa istana : beradu, santap, mangkat, bersiram, gering dan sebagainya HENDAKLAH dikekalkan. Begitu juga dengan kata ganti nama diri seperti : baginda, bonda, anakanda, permaisuri, kekanda dan lain-lain juga dikekalkan.
  • Hendaklah mengalihbahasakan ayat demi ayat sebagaimana mengalih bahasa laras dialog
  • Lazimnya ayat-ayat teks klasik panjang. Sebaiknya ayat-ayat panjang tersebut dijadikan dua ayat atau lebih yang lebih ringkas tetapi menepati ciri-ciri bahasa Melayu moden tanpa mengubah maksud asal teks
  • Semua dialog yang terdapat dalam teks klasik HENDAKLAH ditukar ke dalam teks bahasa biasa sebagaimana mengalih bahasa laras dialog
  • Alih bahasakan secara ayat demi ayat. JANGAN ditukar kedudukan atau susunan ayat
  • JANGAN mentafsir atau membuat ulasan  cerita dalam teks tersebut kerana akan menyebabkan berlaku tokok tambah isi atau fakta. Ini menyebabkan isi terpesong
  • Keseluruhan teks HENDAKLAH dialihbahasakan. JANGAN tinggalkan atau gugurkan mana-mana ayat/bahagian teks
  • Anda boleh menganti sesetengah kata/diksi sekiranya perlu diubah asalkan tidak mengubah maksud asal kata tersebut
  • Pastikan juga anda tidak menulisnya dalam bentuk laporan.
  • Perlu ELAKKAN daripada memasukkan unsur penanda wacana bahasa klasik: lalu, setelah itu, pun dan partikel -lah
  • Setiap ayat yang dibuat perlu menampakkan ciri-ciri kesinambungan kohesi dan koheren sehingga menghasilkan alih bahasa yang utuh

SEJARAH PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Hala Tuju Pendidikan

Perundangan Pendidikan
1957 - The Education Ordinance, 1957
1961 - Education Act, 1961
1963 - Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak - 1971)
1971 - Akta Universiti dan Kolej Universiti
1974 - Akta Politeknik Ungku Omar
1980 - Akta Majlis Peperiksaan Malaysia

Laporan-Laporan Penting
1956 - Report of the Education Committee, 1956 (Penyata Razak)
1960 - Report of the Education Review Committee, 1960 (Penyata Rahman Talib)
1967 - Penyata Jawatankuasa Perancang Pelajaran Tinggi
1973 - Laporan Jawatankuasa di atas Kajian Pendapat mengenai Pelajaran
          dan Masyarakat (Laporan Keciciran)
1979 - Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran                    (Penyata Mahathir)
1991 - Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Latihan

Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan
1957 - Mata pelajaran wajib sekolah rendah dan menengah
1970 - Bahasa pengantar darjah 1
1975 - Semua Sekolah Rendah Inggeris selesai ditukar menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan
1976 - Bahasa pengantar Tingkatan 1
1979 - Bahasa pengantar Tingkatan VI aliran sastera
1980 - Bahasa pengantar jurusan sastera tahun 1 di universiti
1981 - Bahasa pengantar tingkatan VI aliran sains
1982 - Bahasa pengantar semua peringkat persekolahan
1983 - Bahasa pengantar semua kursus di universiti

Peperiksaan Sekolah Rendah
1957 - MSSEE (Malayan Sec. Sch. Entrance Exam) dimulakan
1963 - MSSEE dimansuhkan
1967 - PDL (Penilaian Darjah 5) dimulakan
1973 - UDT (Ujian Darjah 3) dimulakan
1982 - UDT dimansuhkan
1988 - PDL dimansuhkan
1988 - UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dimulakan

Peperiksaan Sekolah Menengah
1957 - LCE (Lower Certificate of Education) dimulakan
1957 - OSC (Overseas Cambridge Sch Certificate) dimulakan
1957 - FMC ( Federation of Malaya Certificate) dimulakan
1957 - QT ( Qualifying Test) dimulakan
1960 - SRP (Sijil Rendah Pelajaran) dimulakan
1961 - UK (Ujian Kelayakan) dimulakan
1962 - SPPTM (Sijil Pel. Persekutuan Tanah Melayu)    dimulakan
1964 - SPPTM dimansuhkan
1964 - FMC dimansuhkan
1964 - MCE (Malaysian Certificate of Education) dimulakan
1964 - SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dimulakan
1967 - SRP/LCE soalan objektif mula digunakan
1968 - OSC dimansuhkan di Semenanjung Malaysia.
1969 - SPVM (Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia) dimulakan
1976 - Peperiksaan Bahasa Melayu (Julai) dimulakan
1976 - MCE diambilalih oleh Lembaga Peperiksaan
1982 - HSC (Higher School Certificate Cambridge) dimansuhkan
1982 - STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) diambilalih oleh Majlis Peperiksaan Malaysia dimulakan
1983 - LCE ujian Lisan Bahasa Melayu dimansuhkan
1983 - SRP Ujian Lisan Bahasa Inggeris dimansuhkan
1987 - Sijil SPVM ditukar kepada SPM(V)
1987 - SPM di seluruh Malaysia dimulakan
1991 - KHPP (Kemahiran Hidup Program Peralihan) SRP dimulakan
1992 - Tahun terakhir bagi SRP
1993 - PMR (Penilaian Menengah Rendah) dimulakan
1993 - SPM berdasarkan KBSM (Kurikulum Baru Sek. Menengah) dimulakan

Kurikulum
1956 - General Syllabuses and Timetable Committee ditubuhkan
1964 - General Syllabuses and Review Committee ditubuhkan
1965 - Pendidikan Komprehensif dimulakan
1967 - Report of the Committee on Curriculum Planning and Development
1973 - Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) ditubuhkan
1982 - KBSR dilaksanakan di 302 buah sekolah rendah sebagai percubaan
1983 - KBSR dilaksanakan di semua sekolah rendah
1988 - Pelaksanaan KBSR sepenuhnya dicapai
1988 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran bahasa
1989 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran lain
1989 - Kemahiran Hidup Program Peralihan dimulakan di tingkatan 1
1989 - Pelaksanaan PKBS di tahun 1 hingga tahun 6 di semua sekolah rendah
1989 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilancarkan di 100 buah sekolah rendah
1991 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilaksanakan di 1000 buah sekolah rendah
1991 - Kemahiran Hidup bersepadu dimulakan di Tingkatan 1
1992 - Mata pelajaran Kemahiran Hidup Manipulatif dilaksanakan di 3000 buah sekolah  rendah
1993 - Kemahiran Hidup mula dilaksanakan di Tahun 4 di semua sekolahrendah. Sekolah yang
telah melaksanakan Kemahiran Manipulatifmeneruskannya di Tahun 5 dan 6 sekolah rendah

Peperiksaan Khas
1964 - Penubuhan Unit Pendidikan Khas
1978 - Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Komunikasi Seluruh
1981 - Jawatankuasa Antara Kementerian-Kementerian mengenai Pendidikan Khas
(Kementerian Kebajikan Masyarakat/ Kementerian Kesihatan,Kementerian Buruh
dan Tenaga Rakyat serta Kementerian Pendidikansebagai Pengerusi dan setiausaha)
1984 - Jawatankuasa Pendaftaran dan Penempatan Kanak-kanak cacat antara Kementerian-Kementerian.
1984 - Penubuhan Jawatankuasa Penempatan Kanak-Kanak Negeri
1984 - Jawatankuasa Kebangsaan Kurikulum Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional
Shah Alam ditubuhkan
1985 - Penubuhan Unit Perintis Penerbitan dan Percetakan Braille Kementerian Pelajaran Malaysia
1985 - Penubuhan Mesyuarat Majlis Perkhidmatan Kebajikan Negara
1985 - Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Komunikasi Seluruh Kementerian Pendidikan
1987 - Penubuhan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Shah Alam
1987 - Jawatankuasa Pelaksana Pendidikan Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran
1988 - Arahan Y.B.Menteri Pendidikan mengkaji memberi bantuan penuh kepada Kanak-kanak
dengan Perlakuan Autisme Ringan
1989 - Majlis Perundingan Pembangunan Masyarakat Negara
1991 - Lembaga Penasihat Kebangsaan bagi Pendidikan Kanak-kanak dengan keperluan-keperluan
Pendidikan Khas
1993 - Jawatankuasa mengkaji Dasar, Perancangan, Penyelarasan danPelaksanaan Pendidikan
bagi kanak-kanak dengan keperluan-keperluanPendidikan Khas.



Sumber: Salinan daripada -Laman Web KPM

Jumaat, 13 Mei 2011

Tutorial Hujung Minggu Anda:

TUTORIAL HUJUNG MINGGU :

MENENTUKAN KUALITI  JAWAPAN ALIH BENTUK TEKS

Sebagaimana yang telah dipelajari dan bimbingan dalam kelas, dua soalan akan dikemukakan dalam Bahagian C (Soalan Alih Bentuk teks) yang menawarkan 15 markah penuh setiap satunya. Anda hanya perlu menjawab satu soalan sahaja sama ada soalan no 6 atau no 7 berdasarkan bentuk teks mana yang anda betul-betul kuasai.

Hampir setiap tahun bentuk teks berbeza, tetapi jika kita analisis ada kecenderungan teks-teks tertentu yang agak kerap dikemukakan dalam soalan STPM. Bentuk teks dialog saya lihat menjadi ‘popular’ dalam soalan BM kertas 2 STPM. Tetapi itu bukanlah satu ukuran semestinya begitu. Sebagai pelajar kita tidak boleh terperangkap dengan andaian dan budaya soalan ‘spot’. Oleh itu persiapkan diri dengan berbimbingkan guru/pensyarah supaya anda betul-betul memahami kaedah dan teknik menyampaikan jawapan yang berkesan lagi berkualiti malah menepati taraf kualiti jawapan yang sebenar.

Kita akui tidak semua pelajar mampu ‘menguasai’ semua bentuk teks yang ada dalam sukatan pelajaran itu, contohnya ada pelajar yang tidak memahami teks prosa klasik dengan alasan tidak pernah membaca teks klasik sebelum ini. Tetapi hendak seribu daya...kan.

Cuba anda analisis tahap kualiti jawapan latihan anda berdasarkan contoh cara pemberian markah untuk Bahagian C seperti di bawah ini:

MARKAH PENILAIAN :

5 markah ISI,
                        10 markah Persembahan

Penilaian Isi (5 markah)

Krieria Jawapan
Taraf
Markah
Isi tepat, tidak terpesong atau tidak ada isi tertinggal
Amat baik
5
Isi keseluruhan masih tepat, tetapi sedikit isi/fakta tertinggal atau kurang tepat
Baik
4
Keseluruhan isi masih baik, namum sebahagian sahaja isi/fakta tertinggal
Sederhana
3
Isi tidak tepat, banyak isi/fakta terpesong
Lemah
2
Secara keseluruhan ini tidak tepat / sipi / terpesong / tertinggal
Amat lemah
1



Anda boleh mencuba menyemak jawapan anda. Jawapan anda berada dalam kriteria mana. Sekiranya jawapan anda berada pada tahap markah 3 dan ke bawah, sebaiknya baiki jawapan dengan melengkapkan isi yang menepati teks asal. Berbincangkan dengan rakan-rakan atau dapatkan bimbingan guru anda.
 Penilaian Persembahan (10 markah):


Kriteria Persembahan Isi
Taraf
Markah
ü  Jalinan jawapan kemas
ü  Tidak ada sebarang kesalahan bahasa
ü  Bentuk alih bahasa tepat

Amat baik
9 – 10
ü  Jalinan jawapan masih kemas
ü  Ada kesalahan bahasa tetapi tidak serius
ü  Bentuk alih bahasa tepat

Baik
7 – 8
ü  Jalinan jawapan kurang kemas
ü  Beberapa kesalahan bahasa tetapi tidak menjejaskan isi jawapan
ü  Bentuk alih bahasa kurang tepat/kurang sesuai


Sederhana
5 – 6
ü  Jaminan jawapan kurang kemas
ü  Banyak kesalahan bahasa serius dikesan
ü  Bentuk alih bahasa tidak tepat

Lemah
3 – 4
ü  Jalinan jawapan keseluruhan tidak kemas
ü  Banyak kesalahan bahasa yang serius sehingga menjejaskan/merosakkan isi jawapan
ü  Bentuk alih bahasa salah/terpesong


Amat lemah
1 – 2

Jika  sukar menilai persembahan jawapan anda sebaiknya minta bantuan guru/pensyarah anda.

Catatan:

*       Sekiranya anda menjawab dengan menyalin keseluruhan teks asal, jawapan anda hanyak layak diberi 1 markah sahaja.
*       Jika anda mengemukakan jawapan dalam bentuk ulasan, laporan ataupun ringkasan, jawapan anda hanya layak diberi 2 markah
 Selamat menilai sendiri latih ulang bahagian C.

Rabu, 11 Mei 2011

FORMAT KARANGAN BENTUK LAPORAN

Sudah pasti para pelajar cukup memahami dan mahir tentang format karangan bentuk laporan ini. Hasil tunjuk ajar guru/pensyarah dalam kelas  tentunya cukup membantu anda semua. Sebagai bahan rangsangan minda dalam menghadapi peperiksaan pertengahan tahun yang akan bermula tidak berapa hari lagi, sesetengah pelajar gemar mencari dan mengulang baca nota atau bahan sedia ada tetapi dalam bentuk atau paparan yang baru. Jadi di sini marilah kita berkongsi maklumat sedia ada dengan pengetahuan yang semakin mendalam.

Secara ringkas format karangan bentuk laporan:

1. Sebelum  merangka jawapan, anda selalunya diingatkan supaya baca dan fahami serta hayati dengan membuat analisis kehendak soalan yang dikemukakan.
  • Isu yang perlu dikupas.
  • Apa jawatan atau peranan pelapor
  • Pelapor mewakili institusi apa
  • Ruang lingkup huraian (sebab/punca, langkah/cadangan dan sebagainya)
INGAT: Laporan hendaklah ada pernomboran
    2. Mulah membuat rangka format jawapan bentuk laporan semudah berikut:

    Tajuk : (mesti menepati kehendak dalam soalan)

    1.0  Pendahuluan
    • Konsep
    • Latar belakang
    • Pendapat tokoh
    • Statistik
    • Isu pokok soalan
    • Ayat akhir  perenggan pendahuluan : Berikut ialah laporan tersebut.
    2.0  Senarai Jawatnkuasa:
           Pengerusi :
           Naib Pengerusi:
           Setiausaha : ( Nama SU hendaklah sama dengan nama pelapor)
           Bendahari :
           Ahli Jawatankuasa : 1.
                                            2.
                                            3. (maksima 3 orang)

    3.0  Punca/Faktor (mengikut kehendak soalan)
           3.1
           3.2
           3.3
           3.4

    4.0  Langkah/Cadangan (mengikut kehendak soalan)
           4.1
           4.2
           4.3
           4.4

    5.0  Penutup
    • Pernyataan semula pokok persoalan
    • Menyatakan isi-isi seringkas mungkin
    • Pernyataan harapan

    Laporan ini disediakan oleh,                                                  tarikh

                tandatangan
    (NAMA:   (HURUF BESAR)       )
    Jawatan:



    *************
    PERINGATAN:

    5 Markah akan ditolak daripada markah isi/kerelevenan sekiranya jawapan tidak mengikut format lengkap.

    Jika mana-mana bahagian berikut tidak ada:

    • Tajuk                                    (tolak 1 markah)
    • Senarai AJK                        (tolak 1 markah)
    • Berikut ialah laporan.        (tolah 1 markah)
    • Pernomboran                      (tolak 1 markah)
    • Tandatangan / pelapor       (tolah 1 markah)

    SARANAN BERGUNA UNTUK ANDA:
    Sekiranya anda mahukan jawapan yang mantap dan berkesan perkara berikut sepatutnya dimuatkan dalam Pendahuluan, Isi dan Kesimpulan:
    • Pendapat tokoh
    • Contoh yang tepat
    • Peribahasa yang sesuai
    • Pernyataan Harapan

    Selamat mengulangkaji dan jangan 'segan-segan' untuk bertanyakan pembimbing anda!

    Sumber: Berdasarkan pengalaman dan bacaan serta perkongsian akses.

    Selasa, 10 Mei 2011

    Sambungan.... Telekomunikasi Elektronik

    Dampak Negetif

    Sejauhmana Telekomunikasi Elektronik memberi kesan baik kepada penguna telah kita huraikan dalam paparan sebelum ini,namun kita juga boleh bincang dari sudut dampak negetifnya, kerana sesuatu alat atau kemudahan tetap saja ada impak buruknya andaikata pengguna tidak prihatin.

    Antara dampak negetif yang boleh kita lihat ialah:

    1. Menjadi saluran atau wadah yang amat mudah untuk sesiapa sahaja menyampaikan maklumat atau mesej yang tidak baik, berbentuk fitnah, untuk menjatuhkan pihak lawan dan penipuan. Kebelakangan ini kita sering terbaca berita berkaitan penyalahgunaan media maya untuk menyebarkan berita atau maklumat yang tidak betul dan palsu sama ada dalam dunia politik, hiburan dan perniagaan, malah berlaku juga perbuatan menabur fitnah dalam institusi kemasyarakatan dan kekeluargaan. Penyebaran fitnah dan sebagainya ini boleh dilakukan melalui mesej dalam telefon, e-mail, dan yang paling popular sekarang ini penggunaan blog sebagia wadah menyebarkan fitnah kerana saluran ini boleh di capai atau di akses sesiapa sahaja malah nampak lebih berkesan dengan sisipan gambar dan video yang berkaitan. Lawan dan musuh  politik sering menggunakan blog untuk tujuan politik mereka. Jika kita lihat dalam konteks hubungan dalam komuniti, keluarga dan rakan juga memberi kesan buruk seperti permusuhan yang boleh membabaitkan pergaduhan besar antara kaum dalam masyarakat jika fitnah itu mengaitkan isu perkauman dan keagamaan. Hubungan kekeluargaan dan sahabat handai juga boleh terjejas danterputus sekiranya berlaku fitnah melalui media ini berlaku.
    2. Penyebaran maklumat dan berita tidak dapat disekat dalam jangka masa singkat. Apa lagi sekiranya maklumat itu boleh menjejaskan pelbagai pihak. Semua gambar, video dan apa sahaja bentuk audio dan visual boleh dikirim dan dipaparkan seperti melalui facebook, u-tube yang sangat efisen dan mudah penggunaannya sekarang ini. Pihak berkuasa mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyekat penyebaran maklumat tersebut. Penyebaran unsur-unsur lucah juga berlaku dengan mudah sekarang ini, apa lagi pihak kerajaan dalam mengamalkan dasar 'langit terbuka' belum bercadang menyekat kemasukan laman web lucah atau porno dari luar negara. Malah pengguna juga mudah untuk 'link' dengan penerbit majalah-majalah berunsur lucah seperti playboy dan penthouse. sekiranya kita sebagai pengguna mengambil sikap mengambil peluang dengan apa yang dihidangkan itu bertambah berleluasa lagi penyebaran maklumat yang tidak sesuai itu.
    3. Membuang masa. sesiapa sahaja boleh leka keseronokan melayari facebook, twitter dan menghantar e-mail tanpa mengira masa dan tempat. Golongan pelajar boleh terjejas pembelajaran mereka sekiranya masa senggang yang sepatutnya dengan aktiviti bermanfaat dan berkualiti banyak dihabiskan dengan aktiviti tersebut. Bukan itu sahaja boleh memburukkan lagi sekiranya mereka cuba mempraktikkan apa yang dilihat dan dibaca melalui internet tadi, seperti perbuatan cabul, rogol atau keganasan lain. bagi mereka yang bekerja di pejabat juga mengalami situasi buruk ini. Dilaporkan ramai kakitangan awam banyak menghabiskan masa dengan berfacebook dan melayari internet semasa bekerja. Ini pastinya boleh mengganggu prestasi kerja, banyak urusan tergendala dan menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan orang ramai.
    4. Lain-lain kesan negetif boleh kita bincangkan ialah berlaku aktiviti pencerobohan atau pengondam internet. Dalam aspek perniagaan dan urusan kerajaan boleh berlaku pencerobohan dan 'penjualan' maklumat kepada pihak luar atau musuh.
    Oleh itu, Waspadalah sekiranya kita seorang yang aktif dalam menggunakan komunikasi secara elektronik ini kerana buka saja untuk kemudahan akses maklumat dan berseronok, silap langkah kita atau pengguna dan negara boleh kerugian dalam sekelip mata sahaja.

    Nota : Sumber daripada pelbagai bahan bacaan.

    Rabu, 4 Mei 2011

    KOMUNIKASI SECARA ELEKTRONIK - Apa Dampaknya?

     foto hiasan

    "Dunia semakin kecil" itulah gambaran betapa mudahnya manusia yang mendiami bumi ini bergerak, berhubung, dan melihat keseluruhan alam bumi ini. Kalau sebelum era kemerdekaan amat sukar untuk  mempercayai bahawa seseorang itu boleh bercakap secara langsung dengan orang lain yang tinggal berjauhan, atau tinggal di kampung, di bandar, di luar negeri. Awal penciptaan alat telekomunikasi oleh Alexander Graham Bell sekitar tahun 1875. Maka, bermulalah era komunikasi secara jarak jauh menggunakan vokal atau suara yang boleh menghubungkan sesiapa sahaja yang memiliki telepon pada zaman itu. Walaupun sezaman dengannya sudah ada alat untuk menghantar maklumat yang menggunakan isyarat atau kod bunyi tetapi bukannya untuk kegunaan awam, tetapi lebih kepada operasi oleh pihak pemerintah sahaja. Ratusan tahun telah berlalu, pelbagai inovasi telah berjaya dicipta untuk menghasilkan alat telekomunikasi secara elektronik telah muncul kemudiannya. Kini, telekomunikasi secara elektronik yang sangat canggih telah terhidang untuk sesiapa sahaja memiliki dan menggunakannya seperti, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), blog, facebook dan twitter. Dunia bukan lagi semakin kecil tetapi amat kecil sekali. Penggunaannya meliputi seluruh pelusok dan ceruk dunia. Namun, apakah dampak atau kesan yang sudah semestinya timbul dengan kemajuan teknologi bidang tersebut?

    Dampak positif

    Melihat kelebihan dan kemudahan yang disediakan sudah pasti telekomunikasi secara elektronik ini membantu kita dalam menghantar segala macam bentuk maklumat secara pantas, berkesan ke mana sahaja arah tempat yang kita mahu hantar tanpa mengira batasan masa dan sempadan. Sebelum adanya kemudahan seperti ini, seseorang itu terpaksa menunggu beberapa hari malah berminggu untuk mengirim dan menerima surat dan sebagainya. Sekarang hanya dalam sekelip mata semua maklumat dapat dihantar dan segala urusan dapar diselesaikan seperti menghantar surat, membuat bayaran pembelian barangan atau bayaran bil-bil secara on-line, menempah tiket penerbangan, semakan keputusan peperiksaan, semakan kemasukan ke IPT dan banyak lagi termasuklah menghantar gambar. Jelas itu semua kelebihan yang dinikmati dengan kemudahan teknologi telekomunikasi yang amat canggih sekarang.

    Kita juga dapat berhubung dan berkomunikasi secara langsung dengan keluarga, sahabat handai, orang yang tersayang dan sesiapa sahaja yang kita boleh hubungi walau di mana sahaja mereka berada. Ini membantu kita sama ada untuk bertanya khabar, menghantar berita dan maklumat dalam jangka masa sedetik sahaja. Contohnya sekarang ramai orang berhubung melalui facebook, skype dan twitter. Mereka boleh berhubung sama ada semasa di rumah, di pejabat, dalam kenderaan ataupun perjalanan. Dengan kemudahan internet jalur lebar semua ini dapat kita capai dengan mudah sekali. Tidak ada halangan masa asalkan kita memiliki kemudahannya iaitu komputer ataupun handphone dan lain-lain alat telekomunikasi yang menyediakan kemudahan capaian internet. Secara tidak langsung juga dapat mengeratkan silaturrahim antara anggota keluarga dan rakan sahabat.


    Sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi, perubahan juga berlaku dalam corak dan cara menjalankan perniagaan. Kalau dahulu, sekiranya syarikat ataupun individu hendak memperkenalkan produknya kepada pengguna, mereka terpaksa berjumpa secara terus dengan pengguna tersebut. Berlakulah sesi memperkenalkan dan mempromosi produk yang hendak dijual, berlaku tawar menawar dan sebagainya yang kadang-kadang mengambil masa untuk mengurus dan menyelesaikannya. Keadaan seperti itu mulai berkurangan sejak kebelakangan ini. Melalui kemudahan telekomunikasi internet semua bentuk perniagaan banyak dijalankan melalui paparan laman web atau blog sesebuah syarikat tersebut atau oleh individu. Mereka boleh melaksanakan perniagaan melalui  internet ini sama ada di rumah atau di mana-mana sahaja. Secara tidak langsung seseorang itu boleh menjana pendapatan mereka tanpa bersusah payah ke sana kemari dan mengambil masa yang lama. Malah bentuk paparan promosinya tentu lebih menarik dan boleh mempengaruhi pengguna atau pembeli untuk membelinya. Pengguna pula bebas untuk memilih barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan tanpa ada rasa tekanan dan terganggu. Bila-bila masa mereka boleh melayari laman web berkenaan dan sekiranya hati sudah berkenan dengan satu-satu produk itu  mereka terus boleh membuat pembeliaan secara on-line.

    bersambung....

    Isnin, 2 Mei 2011

    KESAN GANGGUAN SEKSUAL TERHADAP PENJAWAT AWAM DAN ORGANISASI

    Oleh kerana kes-kes gangguan seksual sering melibatkan kalangan mereka yang bekerja di pejabat, maka adalah lebih baik secara keseluruhan perbincangan kali ini memaparkan kesan yang boleh berlaku terhadap penjawat awam atau swasta yang bekerja di pejabat. Masalah ini juga boleh menyebabkan sesebuah organisasi atau jabatan itu mengalami masalah kesan daripada kakitangannya terlibat dengan kes ini.

    Dampak negetif akibat gangguan seksual:

    A. Kesan kepada individu yang kena ganggu
    1. Secara fisiologinya mereka yang mengalami gangguan seksual akan memperlihatkan ciri-ciri orang yang sakit, sama ada sakit kepala, tidak selera makan, mengalami mimpi buruk sewaktu tidur. Malah mengalami penurunan berat badan yang tidak menentu.
    2. Kebiasaannya cuba menghindarkan diri daripada rakan-rakan, sering kali mengelak untuk datang ke tempat kerja yang boleh menjejaskan kualiti kerja dan peluang-peluang dalam kerjayanya.
    3. Menunjukkan tanda-tanda kemurungan, kerisauan, mengalami fobia, ketakutan, tiada keyakinan diri, mudah marah, selalu mengelakkan diri dan selalu dilihat mudah menrendah dan menyalahkan diri sendiri. Malah sering berlaku pergaduhan sesama keluarga.
    4. Kesan yang lebih buruk boleh menyebabkan pegawai tadi mudah terjerumus dengan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dengan alasan untuk menenangkan fikiran dan sebagainya.
    B. Kesan terhadap organisasi:
    Organisasi atau jabatan adalah tempat seseorang pegawai awam atau swasta bekerja dan mendapat gaji atau pendapatan. Tempat masyarakat mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan. Sudah pasti sekiranya kejadian gangguan seksual berlaku dalam organisasi tersebut dan menimbulkan kesan ke atas pegawainya seperti yang dinyatakan di atas, sudah pasti boleh menjejaskan operasi organisasi seperti berikut:
    1. Hilang tumpuan terhadap kerja, kualiti kerja menurun dan tidak ada motivasi boleh menyebabkan operasi keseluruhan organisasi atau jabatan terjejas dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang berurusan dengan mereka,
    2. Imej organisasi atau jabatan akan tercalar sekiranya kes ini dilaporkan dalam media massa
    3. Kaki tangan yang terlibat akan meletak jawatan secara tidak langsung menganggu tugasan atau pengurusan kerana ketiadaan pegawai yang melaksanakan tugasan. Sesetengah organisasi mungkin terpaksa mengambil dan melatih pekerja baharu dan ini sudah pasti mengambil masa dan meningkatkan kos.
    C. Kesan kepada mereka yang melakukan gangguan seksual
    1. Pastinya timbul rasa malu dalam keluarga dengan perbuatan tersebut. Hubungan sesama keluarga akan terjejas dan hilang rasa hormat, hilang kepercayaan dan keyakinan. Mungkin akan dipulau.
    2. Masa depan dalam kerjayanya akan terjejas termasuklah peluang kenaikan pangkat dan penghargaan. Akhirnya boleh meyebabkan seseorang itu dipecat.
    3. Jika sekiranya tuduhan tidak benar juga boleh menjejaskan diri pegawai tersebut kerana terasa malu, hilang keyakinan dengan atasan dan rakan-rakan malah turut menjejaskan kualiti kerja.